MUNGKIN ramai tidak tahu bahawa James Brooke pernah memegang jawatan Gabenor Labuan dan pada masa sama sebagai Raja Sarawak. Malah beliau adalah gabenor pertama dilantik oleh British apabila Labuan diambil oleh British.
Bagaimanakah hal ini terjadi? Ia bermula dengan usaha pihak British mencari satu pangkalan tentera yang akan membantu British mengawal laluan perdagangan dengan China. Sebelum itu British telah memilih Pulau Balambangan sebagai pusat pangkalan tenteranya.
Sultan Sulu bersetuju membenar pembukaan penempatan British di Balambangan pada 1761. Namun demikian, Pulau Balambangan telah diserang oleh Sulu dan menyebabkan ia ditinggalkan pada 1775. Selepas itu usaha mencari satu kawasan strategik untuk perdagangan dengan China diteruskan di Selat Melaka dan akhirnya Pulau Pinang diambil oleh British. Selepas itu Singapura pula diambil pada 1819.
LABUAN
Walaupun British telah memiliki Pulau Pinang dan Singapura tetapi terdapat juga usaha untuk mencari lagi pangkalan tentera dan perdagangan di sebelah Pulau Borneo. Ini kerana Borneo berdekatan dengan China, dan kepentingan Kepulauan Sulu dalam perdagangan membuatkan usaha mencari satu kawasan khas bagi British di sebelah Borneo diteruskan.
Dalam hal ini peranan yang dimainkan oleh James Brooke penting dalam memberi galakkan dan nasihat kepada pihak British. James Brooke meminta agar British mewujudkan jaringan perdagangan yang selamat di Borneo kerana aktiviti lanun yang semakin merencam di perairan Borneo Utara.
Tindak tanduk James Brooke ini berpunca daripada kebimbangan beliau mengenai kemungkinan serangan pihak musuh ke atas kerajaan Sarawak. Ini sekali gus akan membawa kepada penyingkiran beliau di Sarawak terutama selepas kematian Pengiran Muda Hashim dan Pengiran Badarudin.
Oleh itu, perlu bagi beliau untuk melakukan sesuatu bagi menyokong usaha pembinaan satu pangkalan tentera atau penempatan British di Labuan bagi mengawasi kegiatan lanun dan pihak yang akan mengancamkan kedudukan beliau di Sarawak.
Henry Wise sebagai ejen beliau di London juga melakukan usaha meyakinkan British di London. Keberadaan Belanda di Pulau Borneo pula membimbangkan pedagang-pedagang Inggeris tentang kemungkinan Belanda boleh menguasai jalan perdagangan dengan China. Pada masa sama Sultan Brunei menawarkan Pulau Labuan kepada British. Setelah berlaku rundingan dengan British, maka pada 1846 pulau tersebut diserahkan kepada British.
MENJADI GABENOR
Penyerahan Labuan kepada British membuka era baharu kepada pulau tersebut. Labuan buat pertama kalinya memiliki pemerintah iaitu gabenor. James Brooke mendapat pengiktirafan pertama sebagai gabenor bagi pulau tersebut. Beliau juga dilantik sebagai Konsul Jeneral bagi British di Borneo.
Sebagai gabenor, James Brooke menerima gaji sebanyak $2,000 setahun. James Brooke dibantu pula oleh beberapa pegawai British. Namun demikian pegawai pembantu beliau ini tidak ramai yang hanya terdiri daripada seorang Leftenan Gabenor, William Napier, Setiausaha Kolonial, Hugh Low dan setiausaha peribadi beliau, Spencer St. John, manakala seorang Juruukur Umum, John Scott untuk melakukan kerja-kerja pencarian arang batu.
PEMBANGUNAN
Sebagai seorang gabenor, usaha awal James Brooke ialah memastikan pembangunan Labuan. Beliau telah melantik beberapa syarikat untuk menjalankan usaha perlombongan arang batu di Labuan. Di samping itu beliau juga telah menjemput orang Cina dari Singapura untuk menjadi buruh-buruh lombong. Ada juga orang Cina dari Singapura ini telah dijemput untuk membuka kedai-kedai di Labuan.
PENYAKIT TROPIKA
Dalam usaha British membangunkan Labuan, terdapat dua cabaran besar dihadapi oleh beliau. Pertama adalah masalah penyakit. Kawasan berpaya di Labuan mengundang penyakit bawaan nyamuk seperti malaria. Selain itu penyakit cacar air juga menjadi penyakit yang menjangkiti penghuni baharu di Labuan.
Pada peringkat awal, ramai pegawai kerajaan mengidap penyakit tropika ini. James Brooke juga tidak terkecuali dalam hal ini. Namun beliau berjaya sembuh dengan pertolongan kawan beliau Henry Keppel yang sempat membawa James Brooke dan kakitangan British yang mengidap penyakit untuk dirawat. Pekerja-pekerja Cina yang dibawa masuk ke Labuan juga menghadapi masalah penyakit bawaan nyamuk ini. Hal ini membawa kebuntuan dalam pembangunan Labuan semasa pemerintahan James Brooke.
PEMECATAN
James Brooke juga berhadapan dengan sikap tidak beradab dan suka bergaduh daripada Napier. Napier yang asalnya kawan kepada James Brooke mula menunjukkan kecenderungan terlibat dalam kegiatan peniagaan secara tidak langsung. James Brooke mendapati Napier telah melakukan perkara yang tidak betul dalam urusan pentadbiran dan perdagangan. Akhirnya James Brooke mengambil keputusan untuk memecat beliau pada 1849. Napier kemudiannya kembali ke Singapura. Tempat beliau sebagai leftenan gabenor ini pula diambil oleh John Scott.
TAMAT SEBAGAI GABENOR
Pada masa sama James Brooke juga berhadapan dengan kritikan daripada pedagang-pedagang British. Ini kerana James Brooke yang berpegang kepada prinsip untuk tidak mengalakkan pelaburan besar-besaran dilakukan.
Beliau juga seorang yang tidak tahu tentang perdagangan. Hal ini diakui juga oleh Keppel bahawa James Brooke tidak mempunyai banyak idea tentang perdagangan.
Oleh kerana dua jawatan dipegang oleh beliau kadangkala menyebabkan pentadbiran Labuan terabai. Pada 1849 sahaja, beliau hanya berada selama 39 hari sahaja di Labuan. Tindak tanduk James Brooke ini yang menerima kritikan pedagang British menyebabkan kerajaan British menubuh satu suruhanjaya di Singapura untuk melakukan siasatan tentang perkara-perkara berkenaan James Brooke.
Perkara yang ditimbul juga adalah sama ada James Brooke mampu mentadbir Labuan yang mana pada masa sama memegang jawatan Raja Sarawak. Sebelum suruhanjaya ini menjalankan tugasnya, James Brooke mengambil keputusan untuk mengundur diri sebagai gabenor Labuan dan Konsul General British pada 1853.
Suruhanjaya yang dibentuk itu pula menghadapi masalah dalam beberapa perkara kerana dua ahlinya tidak sependapat antara satu sama lain. Apa yang mereka setuju hanyalah satu iaitu mustahil bagi James Brooke menjadi Gabenor Labuan dan Konsul General pada masa sama menjadi Raja Sarawak.
Peletakan jawatan oleh James Brooke sebagai gabenor Labuan tidak menghalang penerusan pentadbiran British di Labuan. Labuan terus menjadi tanah jajahannya sehingga pembentukan Malaysia.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).