
SIBU: Jambori Antarabangsa 4×4 Sarawak Edisi Ke-8 2025 disifatkan sebagai sebuah acara besar yang bukan sahaja menguji keupayaan fizikal dan mental para peserta, malah turut menjadi platform untuk memupuk semangat perpaduan serta menjalin persahabatan antara komuniti tempatan dan antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing berkata, acara sukan lasak itu telah berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta dengan lebih 200 kenderaan pacuan empat roda dari dalam dan luar negara.
“Acara ini bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi acara yang menampilkan semangat perpaduan, keterujaan, serta hubungan erat antara manusia dan alam semula jadi. Sarawak dengan hutan tropika, banjaran gunung dan sungai yang menakjubkan sememangnya lokasi paling sesuai untuk acara bertaraf antarabangsa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh wakilnya, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting Fung Ying merasmikan upacara pelepasan
Jambori Antarabangsa 4×4 Sarawak Edisi Ke-8 2025 di hadapan Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya, hari ini.
Tiong berkata, penganjuran acara tersebut juga menjadi platform untuk mempromosikan kepelbagaian budaya, keindahan alam semula jadi dan keramahan rakyat Sarawak yang sudah sinonim dengan negeri ini.
Katanya, acara sebegini memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membuka peluang kepada inap desa, peniaga makanan, penggiat kraftangan dan pengusaha pengangkutan, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Kita bukan sahaja mempromosikan Sarawak, tetapi juga menghubungkan pelancongan dengan pembangunan infrastruktur, pemerkasaan luar bandar dan peluang ekonomi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” kata beliau.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan penyertaan pasukan antarabangsa yang bukan sahaja meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan lasak, tetapi juga membina jambatan persahabatan antara bangsa dan budaya.
“Saya mendoakan agar semua peserta dapat bertanding dengan selamat dan membawa pulang pengalaman yang bermakna, selain menjadikan acara ini sebagai medan persahabatan serta penghormatan sesama insan.
“Saya merakamkan tahniah kepada penganjur, penaja dan sukarelawan yang telah menjayakan acara ini. Saya berharap acara ini terus berkembang sebagai acara ikonik dalam peta pelancongan lasak dunia,” katanya lagi.
Acara sukan lasak tersebut yang bermula dari 16 hingga 20 September, dianjurkan oleh Kelab 4×4 Travel & Adventure (SAKTA) Sarawak.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Roland Duat Jubin, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, wakil Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Jennifer Ang, Pengerusi Kelab 4×4 Travel & Adventure (SAKTA) Sarawak, Jirram Gima serta yang lain.
Oleh Akun Giman