
GUIYANG: Jambatan tertinggi dunia dibuka kepada lalu lintas pada pagi tadi di Wilayah Guizhou, barat daya China, sekali gus memendekkan masa perjalanan merentasi ngarai dari dua jam kepada hanya dua minit selepas tiga tahun pembinaan, lapor Xinhua.
Jambatan Huajiang Grand Canyon yang merentasi Sungai Beipan dibina setinggi 625 meter di kawasan pergunungan Guizhou, hampir sembilan kali lebih tinggi daripada Jambatan Golden Gate di San Francisco.
Struktur sepanjang 2,890 meter yang merentasi Huajiang Grand Canyon digelar ‘retakan Bumi’ merupakan tambahan terbaharu kepada rangkaian infrastruktur China yang berkembang pesat.
Jambatan tertinggi dunia sebelum ini juga dibina merentasi Sungai Beipan, kira-kira 100 kilometer dari Jambatan Huajiang Grand Canyon.
Rekod terdahulu yang dibuka pada 2016 itu mempunyai ketinggian menegak 565.4 meter dari dek jambatan ke permukaan sungai.

“Jambatan baharu ini, yang akan meningkatkan keterhubungan serantau secara signifikan, adalah projek mercu tanda yang menonjolkan inovasi China,” kata Ketua Jabatan Pengangkutan Wilayah, Zhang Yin.
Sejak pembinaan bermula, pasukan jurutera berjaya mengatasi pelbagai cabaran besar.
Dengan memanfaatkan teknologi baharu seperti navigasi satelit, dron, sistem pemantauan pintar dan bahan berkuatan ultra-tinggi, mereka mencapai ketepatan pada paras milimeter dalam pembinaan altitud tinggi, sekali gus menukar halangan yang dahulunya sukar ditembusi menjadi koridor pengangkutan moden.

Selama ini, Guizhou antara wilayah paling kurang membangun di China telah membina lebih 30,000 jambatan di kawasan pergunungan, termasuk tiga daripada jambatan tertinggi dunia. Wilayah itu kini menempatkan hampir separuh daripada 100 jambatan tertinggi di dunia.
-Bernama