
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan terus berpegang teguh kepada prinsip keharmonian dan kerjasama merentas pelbagai pihak dalam usaha membangunkan kawasan Bawang Assan secara inklusif dan mampan.
Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau berkata tiga matlamat utama yang menjadi fokus parti itu ialah menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, menyelesaikan isu yang membelenggu penduduk serta membina komuniti yang bersatu padu dan inklusif.
“Kami percaya bahawa usaha ini mencerminkan keikhlasan kami untuk terus memacu pembangunan khususnya di kawasan Bawang Assan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai 2025 dan sambutan Ulang Tahun ke-66 SUPP di sini, hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Kevin Lau yang juga Pengerusi Pemuda Pusat SUPP turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas persetujuan yang diberikan terhadap cadangannya membina jambatan yang bakal menghubungkan Tebing Barat Sibu dengan pusat bandar Sibu.
“Saya yakin jambatan ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan Bawang Assan secara lebih terancang,” katanya sambil menambah bahawa sokongan padu daripada semua pihak amat penting dalam menjayakan setiap perancangan meskipun berdepan cabaran.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai sambutan ‘Ngiling Bidai’, beliau berkata tradisi itu bukan sekadar penutup kepada Gawai Dayak tetapi turut melambangkan peralihan daripada musim menuai ke musim penanaman baharu yang mencerminkan semangat kesyukuran, perpaduan dan harapan dalam komuniti.
“Adat ini adalah identiti masyarakat Iban yang sarat makna dan wajar dihargai, khususnya oleh generasi muda. Ia memberi inspirasi bukan sahaja dalam kehidupan bermasyarakat tetapi juga dalam kepimpinan,” katanya.
Menurut beliau, semangat yang terkandung dalam adat seperti ‘Ngiling Bidai’ turut sejajar dengan kepimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Premier Sarawak yang sentiasa berusaha gigih membawa kemajuan kepada negeri ini.
“Budaya seperti ini mengajar kita bahawa kejayaan memerlukan perpaduan, kerjasama dan kesepakatan yang merupakan asas penting untuk kita membangunkan Sibu,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Kaunselor Johnny Ganing berkata SUPP merupakan sebuah parti politik yang tertua di Sarawak dan ditubuhkan pada tahun 1959.
“Kita amat berbangga kerana walaupun lebih daripada enam dekad penubuhan parti ini, parti SUPP masih lagi kuat dan masih lagi teguh sehingga ke hari ini,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting