
SIMUNJAN: Projek naik taraf Jambatan Tanjung Pisang kini telah siap sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi oleh pihak kontraktor kepada Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Raffendy Ariffen, dalam satu majlis simbolik yang diadakan hari ini.
Projek bernilai RM4.1 juta ini telah dilaksanakan di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dan bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kecekapan sistem perhubungan di kawasan berkenaan yang sering terjejas akibat limpahan air terutama ketika musim tengkujuh.
Skop utama projek meliputi pembinaan dan penyiapan struktur kotak konkrit bertetulang (R.C. Box Culvert) bersaiz 1800 mm tiga sel, serta pembinaan dan penyiapan dua unit paip pembentung jenis HDPE berdiameter 1200 mm lengkap dengan pintu hayun air (flap gate) sepanjang lapan meter.

Dengan siapnya kemudahan ini, aliran sistem perparitan dan saliran air dijangka menjadi lebih efisien, sekali gus mengurangkan risiko banjir dan kerosakan infrastruktur jalan di kawasan sekitar.
Selain memperkukuh aspek fizikal dan teknikal jambatan, projek ini juga dijangka memberi impak positif terhadap sosioekonomi penduduk tempatan khususnya dalam mempercepatkan urusan harian seperti pengangkutan, akses kepada pendidikan dan pengedaran hasil pertanian.
Majlis penyerahan rasmi turut dihadiri oleh wakil jabatan teknikal dan agensi pelaksana, termasuk Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Samarahan, Dolyadi Mondol serta Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan, Samantha Claire Danial.
Dengan kejayaan pelaksanaan projek ini, kerajaan Sarawak meneruskan komitmennya untuk menyediakan kemudahan asas dan infrastruktur yang lebih mampan, selamat dan berdaya tahan kepada rakyat, sejajar dengan agenda pembangunan luar bandar dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
-UKAS