
SPAOH: Pembinaan Jambatan Sungai Paku di Jalan Tanjung Sebekut di sini bernilai RM36.9 juta dijangka menjadi pemangkin baharu kepada kemudahan perhubungan serta pembangunan ekonomi luar bandar apabila siap kelak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek tersebut amat penting dalam usaha kerajaan negeri memperkukuh jaringan infrastruktur, khususnya di kawasan luar bandar sekitar Spaoh dan Bahagian Betong.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kemajuan projek pembinaan jambatan berkenaan, semalam.
Menurut beliau, pembinaan jambatan itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk setempat, malah memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya.
“Projek ini amat penting kerana ia akan memudahkan pergerakan penduduk selain membuka lebih banyak peluang kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar,” katanya.

Uggah turut menegaskan bahawa projek tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk rakyat.
Katanya, masyarakat luar bandar amat bergantung kepada jaringan jalan raya yang selamat dan efisien bagi memudahkan urusan harian termasuk aktiviti ekonomi.
Projek pembinaan Jambatan Sungai Paku itu diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong selaku Pegawai Penguasa.
Bagi pelaksanaannya, Janje Consulting Engineer dilantik sebagai perunding projek manakala DAL Keluarga Realty Sdn Bhd bertindak sebagai kontraktor pelaksana.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada Uggah dan pegawai agensi terlibat menilai perkembangan semasa projek bagi memastikan ia berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Pembinaan jambatan berkenaan diharap mampu memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk sekitar melalui akses yang lebih lancar, keselamatan perjalanan yang lebih baik serta merancakkan aktiviti sosioekonomi setempat.
Oleh Adi Safarman