
LIMBANG: Pembinaan jambatan merentasi Sungai Berawan bagi menghubungkan jalan kebun di Rumah Panjang Imau akan dipertimbangkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) atau Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Bukit Kota pada tahun depan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, selain projek jambatan tersebut, pembinaan jalan menuju ke tanah perkuburan di kawasan berkenaan kini sedang dilaksanakan.
“Projek ini penting bagi meningkatkan kemudahan penduduk serta memudahkan urusan harian mereka, khususnya untuk ke kawasan kebun,” katanya ketika berucap semasa Program Ngiling Bidai 2026 di Rumah Imau, Jalan Kubong Berawan Buloh, semalam.
Beliau berkata, pelaksanaan projek-projek kecil di kawasan luar bandar mampu meningkatkan kesejahteraan penduduk dengan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sambutan Gawai Dayak merupakan platform penting untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Katanya, perayaan itu bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Dayak, malah turut disambut bersama oleh pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
Pada program tersebut, para tetamu turut disajikan dengan persembahan tarian tradisional masyarakat Iban seperti Ngajat Pua Kumbu, Ngajat Tawak dan Ngajat Piring. Acara kemudian diteruskan dengan upacara Ngiling Bidai, jamuan makan, nyanyian serta cabutan bertuah.
Oleh Adeng Edrus