KUCHING: Projek pembinaan Jambatan Sejingkat yang menyeberangi Sungai Sarawak kini 20 peratus siap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni yakin walaupun projek itu mengalami sedikit kelewatan, ia mampu disiapkan sepenuhnya pada 2025.
“Di DUN Demak Laut, terdapat beberapa projek berimpak tinggi seperti Jambatan Bako dan Sejingkat.
“Projek Jambatan Bako sudah siap empat tahun lalu dan kini kita masih menunggu Jambatan Sejingkat untuk siap.
“Setelah siapnya projek ini nanti, ia akan menjadi ‘game changer’ untuk Kuching yang mana penduduk di Kuching dan Petra Jaya lebih mudah untuk ke Samarahan, manakala penduduk Samarahan juga mudah untuk ke Petra Jaya dan Kuching.
“Ini akan mengubah landskap sosioekonomi di kedua-dua tempat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak selepas jerayawara bersama calon GPS-PBB Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri di Kampung Senari, hari ini.
Turut menyertai program ini ialah bekas Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dalam pada itu, katanya, dengan siap jambatan itu nanti, ia akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas memandangkan ada laluan dan jalan baharu dari Samarahan ke Tanjong Bako dan terus melalui Jambatan Sejingkat.
Projek jambatan menghubungkan Sejingkat dan Tanjung Bako di Samarahan yang bernilai RM365 juta itu dibina dengan panjang jambatan ialah 1.28 kilometer (km) dan setinggi 26 meter dari paras air sungai bagi memberi laluan kepada kapal besar.
Pembinaannya telah bermula pada 2021.
Selain itu, projek jambatan itu turut dilaksanakan serentak dengan projek naiktaraf Jalan Tanjung Bako sepanjang tujuh kilometer dan jalan menghubungkan Tanjung Bako ke Jambatan Batang Samarahan yang masing-masing bernilai RM37.5 juta dan RM81.8 juta.
Ketiga-tiga projek terbabit dilaksanakan atas inisiatif kerajaan negeri bagi mengurangkan masalah kesesakan yang berlaku di sepanjang Jalan Kuching-Samarahan Expressway selain memberi kemudahakan infrastruktur jalan yang lebih selesa kepada rakyat Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN