KUCHING: Jambatan Sejingkat yang merentasi Sungai Sarawak dijangka siap pada 1 Oktober 2026, sekali gus menjadi jambatan ke-12 yang disiapkan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihak kontraktor telah memberi komitmen untuk menyiapkan projek bernilai RM365.737 juta itu mengikut sasaran ditetapkan.
Menurutnya, jambatan empat lorong itu bakal menjadi ‘game changer’ kepada aliran trafik di Kuching dengan menyediakan laluan alternatif bagi pengguna dari Serian dan Kota Samarahan menuju ke Demak Laut, Petra Jaya serta kawasan perindustrian di sebelah Sungai Sarawak.
“Dahulu, masyarakat dari Kota Samarahan yang mahu pergi ke Demak Laut, Petra Jaya atau kawasan perindustrian di sebelah ini perlu melalui pusat bandar dan keadaan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang serius.
“Dengan siapnya jambatan ini, sebahagian besar trafik dari Serian atau Kota Samarahan boleh menggunakan laluan ini untuk ke sebelah sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara penyambungan akhir struktur Jambatan Sejingkat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, laluan baharu itu dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuching.
“Kuching memang mengalami banyak masalah kesesakan lalu lintas, tetapi dengan adanya jambatan ini, kita mengharapkan ia dapat dikurangkan,” ujarnya.
Uggah berkata, kerajaan Sarawak turut mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian trafik bagi Kuching untuk mengenal pasti infrastruktur baharu yang perlu dibina atau dinaik taraf.
Menurutnya, kajian itu penting bagi memastikan keperluan infrastruktur bandar seiring dengan perkembangan Kuching dan agenda transformasi pembangunan Sarawak.
Jambatan Sejingkat sepanjang 1,281.2 meter itu merupakan jambatan dua hala berkembar yang dibina mengikut Piawaian JKR R5, dengan struktur utama jambatan kabel yang mempunyai tiga rentang sepanjang 200 meter, 400 meter dan 200 meter.
Projek berkenaan dilaksanakan oleh KACC Construction Sdn. Bhd. dengan nilai RM365.737 juta.
Uggah menambah, Jambatan Sejingkat turut menjadi sebahagian daripada Sarawak Coastal Road yang dibangunkan bagi memperkukuh hubungan antara kawasan di negeri ini.
Oleh Adele Rissa





