
MIRI: Kerosakan dan keuzuran jambatan serta pembetung di sepanjang bekas jalan balak di Bahagian Miri, khususnya di kawasan Baram, telah dibincangkan dalam satu mesyuarat khas anjuran Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang berlangsung di Pejabat Hutan Wilayah Miri, baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut merupakan susulan kepada perbincangan terdahulu pada 28 Mei lalu yang membabitkan beberapa keputusan penting.
Antara fokus utama ialah cadangan pembinaan semula jambatan dengan jarak tidak melebihi 30 meter yang sebelum ini dibina menggunakan kayu balak dan kini dicadang digantikan dengan struktur keluli jenis rolled steel joist (RSJ) serta bagi pembetung pula, ia akan dibina semula menggunakan paip high-density polyethylene (HDPE).
Inisiatif pembinaan semula ini bakal dilaksanakan melalui pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dengan kos ditanggung bersama oleh agensi kerajaan dan pemegang konsesi balak yang berkaitan.
Kerajaan Sarawak komited membawa pembangunan fizikal ke kawasan pedalaman selaras usaha merapatkan jurang sosio-ekonomi antara komuniti luar bandar dan bandar.

Cadangan ini juga seiring dengan amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di bawah kerangka tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Mesyuarat berkenaan turut mencapai resolusi agar setiap agensi kerajaan terlibat berkongsi maklumat terkini berkenaan senarai jambatan dan pembetung yang uzur di Bahagian Miri.
Jabatan Kerja Raya Bahagian Miri pula akan menyediakan anggaran kos keseluruhan projek.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, Residen Bahagian Miri Galong Luang dan wakil pelbagai agensi kerajaan negeri.
Oleh Amanda L