DARO: Jambatan Muara Lassa yang akan dibuka pada Januari 2025, bakal memberi impak besar kepada keseluruhan sektor ekonomi di Sarawak terutamanya di kawasan wilayah tengah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, ini terutamanya di kawasan wilayah tengah yang banyak tempat telah dikenal pasti sebagai pusat pengumpulan bakul makanan atau ‘food basket’.
“Selain itu, ia juga akan membantu penduduk kawasan pesisir Daro meningkatkan sosioekonomi dan sistem perhubungan,” katanya kepada pemberita selepas majlis meletakkan bongkah terakhir Jambatan Muara Lassa, Daro, di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Abdullah Saidol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berasa bangga dan terharu kerana Pulau Bruit merupakan antara pulau di Malaysia yang akan dihubungkan dengan dua jambatan selain Pulau Pinang.
Abdullah Saidol mengimbau kembali pada 28 April 2015 semasa sidang DUN Sarawak yang diterajui Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) ketika itu.
“Beliau (Tok Nan) telah meminta wakil rakyat dari kawasan pesisir menyuarakan permintaan mereka dan selepas itu sebuah memorandum ditandatangani oleh semua wakil rakyat kawasan pesisir untuk mewujudkan sistem perhubungan jalan tersebut.
“Penghargaan besar juga kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengambil alih pucuk pimpinan pada 2017 kerana mempercepatkan kelulusan dana yang besar untuk semua jambatan yang menghubungkan kawasan pesisir bagi merelisasikan impian kami,” katanya.
Sementara itu, ADUN Daro, Safiee Ahmad memberitahu, Jambatan Muara Lassa dijangka siap sepenuhnya pada 19 Januari 2025.
“Pada 25 Oktober yang lepas saya telah bertemu dengan Premier Sarawak dan beliau memaklumkan sebaik sahaja jambatan ini siap, ia akan terus dibuka kepada orang awam tanpa berlaku penangguhan,” katanya.
Beliau berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat satu persiapan sewajarnya kerana penduduk sememangnya sudah tidak sabar untuk menggunakan jambatan ini.
“Ini membuktikan bahawa apa yang dijanjikan kerajaan telah tertunai pada hari ini dan ini pasti akan menjadi sejarah buat penduduk di sini,” katanya.