
Lakaran projek pembinaan Jambatan Marina Miri.
MIRI: Bandar Raya Miri kini memiliki satu lagi mercu tanda baharu iaitu Jambatan Marina.
Jambatan ini akan menghubungkan Marina dan Pulau Melayu, yang dipisahkan oleh Sungai Miri.
Dengan kos projek bernilai RM450 juta, jambatan ini berkonsepkan kabel penahan (cable-stayed) sepanjang 650 meter.
Ia akan dibina dengan dua lorong, pencahayaan moden serta jalan masuk bertingkat.
Apabila siap kelak, ia mengurangkan jarak perjalanan antara Waterfront Miri dan Pulau Melayu daripada 10 kilometer kepada hanya 0.5 km, dan masa perjalanan daripada 25 minit kepada hanya 5 minit.
Jambatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan, tetapi juga mereka yang berulang-alik ke Bahagian Utara Miri seperti Senadin, Lutong, Kuala Baram dan sempadan Brunei, Sungai Tujoh.
Pagi ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hadir merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Jambatan Marina itu.
Menjadi dasar dan objektif kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik dan lebih tinggi seperti jambatan ke pusat penduduk negeri ini.
Justeru, projek ini merupakan salah satu kemudahan infrastruktur yang boleh membawa pembangunan ekonomi dan seterusnya membantu memperkasakan komuniti setempat.
Oleh Liong Chai Ling