KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) N.77 Telang Usan terletak agak jauh terpencil dalam daerah Baram di Utara Sarawak. Meskipun kecil dan terpencil namun kawasan ini tidak terabai dari arus pembangunan.
Menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN), Telang Usan, Dennis Ngau, Telang Usan dinaik taraf sebagai daerah turut memberi manfaat kepada peningkatan ekonomi penduduk.
Sejak dinaik taraf sebagai sebuah daerah penuh, banyak pejabat kerajaan dan pegawai yang dihantar di kawasan ini memberi perkhidmatan cekap kepada penduduk.
Sejak pimpinan kerajaan baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) kawasan Telang Usan mencapai kemajuan dan ini dibuktikan apabila sebuah jambatan di bina menyeberangi Batang Baram.
Jambatan Long Lama sepanjang 573 meter dinamakan Jambatan Pehin Sri Adenan Satem telah dirasmikan pada 8 Ogos 2019 oleh Ketua Menteri , Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan kos pembinaan RM67 juta.
Jambatan Long Lama adalah satu kejayaan dilaksanakan yang cukup penting dan bermakna bagi memudahkan kehidupan rakyat, kata Dennis.
“Dengan adanya jambatan Pehin Sri Adenan Satem Long Lama, ramai yang tidak percaya kerajaan Sarawak dapat melaksanakannya.
Ini adalah tandanya pembangunan sudah berlaku di mana Long Lama sudah dapat dihubungi melalui jambatan tersebut.”
Pembinaan jambatan Long Lama menunjukkan kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar dengan menyediakan kemudahan yang memanfaatkan kepada semua.
Menurut Dennis, jambatan Long Lama atau Jambatan Tok Nan memberi impak kepada lebih 20,000 penduduk di kawasan Apoh dan semestinya penduduk Long Lama dan pelawat.
Malah pengusaha sawit pun dapat menjual hasil mereka sehingga ke luar Long Lama dengan mendekatkan jarak perjalanan yang dahulunya bergantung kepada perkhidmatan feri.
Pembanguanan kawasan DUN Telang Usan menjadi semakin rancak melebar ke semua pelosok kawasan penempatan.
Projek Skim Pembekalan Elektrik Alterntif Luar Bandar Sarawak ( SARES) dan solar hibrid yang telah dilaksanakan di 83 buah rumah panjang dan penempatan di seluruh DUN Telang Usan sejak tahun 2016 telah membawa perubahan positif kepada penduduk di kawasan Telang Usan.
Menurut Dennis, projek solar ini telah memberi manfaat kepada 5,000 keluarga dari 83 buah rumah panjang dan penempatan Kayan, Kenyah, Penan dan lain-lain.
Selain itu Projek Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) merupakan projek infrastruktur terbesar pernah diterima oleh kawasan DUN Telang Usan dengan peruntukan dari kerajaan GPS negeri Sarawak berjumlah RM750 juta dan telah diagihkan untuk melaksanakan projek jalan.
Antara kawasan ialah di RGC Long Lama Ke Logan Sibong, Simpang Long Laput, Simpang Daleh Long Pelutan, Long Aya Ulu Tinjar Ke Long Sobeng, Long Lama ke Simpang Temala, Simpang Sungai Dua, Simpang Uma Akeh, Simpang Long Bemang, Simpang Long Watt Long Tujang dan Long Buang, Simang Long Atip, Simpang Long Bedian dan Jambatan Long Kevok.
Sebagai pemimpin dan wakil rakyat di DUN Telang Usan, Dennis cukup yakin dan percaya bahawa perancangan untuk membangunkanTelang Usan bukan sahaja sesuatu yang mencabar tetapi juga memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat.
Oleh JIKU JUGUONG