
SIMANGGANG: Pembinaan Jambatan Sungai Lingga yang menghubungkan Sebuyau akan siap pada bulan depan dan akan dirasmikan pada Jun tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata namun begitu pembinaan jalan dari Lingga ke Sebuyau sepanjang 28.5 kilometer (km) di jambatan terbabit kini dalam proses pembinaan dan akan siap pada 2027.

“Pembinaan Jambatan Lingga akan siap bulan depan, dan akan dirasmikan pada Jun nanti manakala projek pembinaan Jalan Utama Kedua (STR) bagi Pakej B1 menghubungkan Lingga ke Sebuyau sepanjang 28.5 km dijangka siap 2027.
“Sama juga perkembangan di Jambatan Batang Lupar 2, pembinaan jambatan akan siap pada 2026 dan pembinaan jalan raya kita belum pasti sama ada siap pada 2026 atau 2027. Setelah siapnya pembinaan kedua-dua jalan ini, jarak perjalanan akan menjadi lebih pendek dan cepat untuk pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Islam Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.28 Lingga di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.
Sementara itu Dayang Noorazah berkata beliau difahamkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak projek pembinaan (waterfront extension) Tebingan Batang Lupar yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh masyarakat di sini, kini sedang dalam proses reka bentuk dan berharap akan bermula pembinaannya pada tahun depan.
“Saya difahamkan oleh pihak DID Sarawak, pada tahun lepas proses pelantikan konsultan telah bermula dan pada tahun ini mereka sedang proses menghalusi reka bentuk jambatan dan diharap selesai tahun ini, kita sasarkan pembinaannya akan bermula pada tahun depan.
“Projek (extension waterfront) Tebingan Batang Lupar itu kelak bukan hanya sekadar benteng untuk mengelak hakisan di kawasan pesisir terutamanya di kawasan tebingan di sekitar Kampung Hulu dan Hilir Simanggang, namun ia turut ada reka bentuk yang akan mencantikkan kawasan tersebut apabila ia siap kelak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dayang Noorazah menjelaskan pembinaan (extension waterfront) di Tebingan Sri Aman itu apabila siap kelak bakal menjadi tebingan terpanjang di Sarawak sepanjang dua kilometer dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Kita di di kawasan ini bakal mempunyai jambatan kabel (Cable-Stayed Bridge) di Jambatan Batang Lupar Dua yang tertinggi di Malaysia dan juga tebingan terpanjang di Sarawak, ia bakal menjadi satu kebanggaan kepada masyarakat di sini dan Sarawak amnya.
“Ini adalah usaha yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dan kita patut berterima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas usaha tersebut. Untuk makluman kesemua pembangunan tersebut adalah hasil daripada dana daripada kerajaan Sarawak itu sendiri, ” jelasnya.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah menambah projek pembangunan daripada Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) telah memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk projek pembinaan jalan di sekitar Bahagian Sri Aman.
“Di Bahagian Sri Aman masih banyak kawasan memerlukan projek pembinaan jalan ke kampung dan rumah panjang, sebab itu peruntukan SADA banyak terhabisnya untuk pembinaan jalan, dan projek yang lainnya.
“Antara dua projek yang diluluskan oleh SADA iaitu di Jambatan Batang Lupar 2 iaitu Dewan Simposium dan sebuah hentian rawat dan rehat (R&R),” katanya.
Turut hadir Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, Temenggung Mohd Shah Achang dan Penghulu Zamari Morshidi.
Oleh Adi Safarman