
LIMBANG: Persatuan Melayu Limbang (PML) menggesa agar projek pembinaan Jambatan Kedua Limbang yang telah lama tergendala dapat disiapkan secepat mungkin.
Pengerusi PML, Mohamad Abu Bakar, berkata jambatan tersebut amat penting kerana ia bukan sahaja akan memendekkan waktu perjalanan penduduk dari kawasan seberang sungai seperti Batu Danau dan sekitarnya ke pusat bandar Limbang, malah turut memudahkan akses bagi pengunjung dari Brunei ke daerah ini.
“Sememangnya masyarakat di Limbang amat menantikan bila Jambatan Kedua itu akan siap dan dapat digunakan, bukan sahaja sebagai laluan penghubung utama, tetapi juga sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di bandar Limbang,” katanya ketika ditemui media pada majlis Jalinan Mesra Hari Raya Aidilfitri serta sambutan 78 Tahun PML di Dewan Bunga Raya, hari ini.
Projek pembinaan Jambatan Kedua Sungai Limbang mengalami kelewatan sejak 2017 daripada jadual yang ditetapkan iaitu sebelum Oktober 2022.
Projek dikategorikan sakit dan tergendala terlalu lama itu dijadualkan semula melalui pihak pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).
Mohamad turut senada dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meluahkan rasa kecewa kerana beberapa projek yang diumumkan sebelum ini tidak berjalan lancar meskipun dana sudah diperuntukkan.
“Kita amat senada dan menyokong hasrat Premier yang meminta projek yang tergendala disiapkan segera memandangkan dana sudah diberikan tetapi projek di lapangan tidak dilaksanakan seperti yang dikehendaki, begitu juga halnya dengan Jambatan Kedua Sungai Limbang,” ujarnya lagi.
Beliau menambah Abang Johari turut menekankan bahawa struktur pentadbiran dan agensi pelaksana mesti turun padang bagi memastikan projek berjalan lancar.
Menurutnya lagi Abang Johari turut menekankan tiada alasan untuk kelewatan kerana mandat dan dana telah diberikan.
Turut sama Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Limbang Abang Aien Abang Bolhil dan isteri Mohamad Asmah Yasiin.
Oleh Adeng Edrus