BINTANGOR: Pembinaan Jambatan Kampung Ranchak bernilai RM20.035 juta dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan jaringan perhubungan antara Kampung Ranchak dengan Bandar Bintangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek berimpak tinggi itu akan menyediakan kemudahan yang lebih selamat, selesa dan efisien kepada penduduk setempat apabila siap kelak.
“Pembinaan jambatan ini dijangka meningkatkan jaringan perhubungan antara Kampung Ranchak dengan Bandar Bintangor, di samping menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk setempat serta menyokong pembangunan sosioekonomi di kawasan Meradong.
“Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak RM20.035 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan, bermula pada 10 April 2026 dan dijadualkan siap pada 9 April 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Jambatan Kampung Ranchak bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek, baru-baru ini.
Menurutnya, lawatan tersebut bertujuan mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan pembinaan, di samping meneliti perkara yang berkaitan dengan kepentingan penduduk setempat.
“Saya menekankan kepentingan memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, di samping memberi perhatian terhadap aspek kualiti, keselamatan dan keperluan masyarakat setempat sepanjang tempoh pembinaan.
“Projek infrastruktur seperti jambatan memainkan peranan penting dalam meningkatkan akses penduduk, memudahkan urusan harian dan merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama erat antara JKR, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat dapat diteruskan bagi memastikan projek itu disiapkan mengikut spesifikasi, jadual dan standard yang ditetapkan.
“Kerjasama erat antara JKR, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat amat penting bagi memastikan projek bernilai RM20.035 juta ini dapat disiapkan dengan lancar serta memberi manfaat kepada masyarakat dalam jangka panjang,” katanya.
Turut hadir pada lawatan itu ialah Jurutera JKR Bahagian Sarikei, Wong Qing Hsian, Pemanca Yii Hee Siang dan Pemanca Rapen Agan.
Oleh Earl Anek




