KUCHING: Projek pembinaan Jambatan Bintangor, apabila sudah siap nanti, akan melengkapkan jolokan tiga jambatan ikonik, seiring dengan Jambatan Darul Hana dan Jambatan Gantung Satok, yang bakal menghambat minat para pelancong bagi melonjakkan daya tarikan Kampung Warisan Satok.
Demikian Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi gambaran selepas lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang semalam.
Beliau pasti dengan terlengkapnya tiga jambatan ikonik itu nanti Kampung Warisan Satok berupaya terangkat menjadi tarikan hebat seperti Melaka.
Projek pembinaan Jambatan Bintangor dijadual siap dalam tempoh tiga tahun.
“Selain itu, dalam Rancangan Malaysia ke-12 kita akan menaik taraf tebingan sungai di sini, sekarang ini di Kampung Nombor 3 dan akan bersambung ke Kampung Nombor 4 serta Kampung Nombor 5 secara berperingkat-peringkat hinggalah ke kawasan Satok iaitu berhadapan dengan Jambatan Gantung,” jelasnya.
Mengulas mengenai lawatan beliau ke SK Merpati Jepang, Ketua Menteri memberitahu yang projek menaik taraf sekolah berkenaan sedikit terganggu ekoran pandemik Covid-19.
Dengan kaedah menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) projek berkenaan dijangka boleh siap pada April 2022, katanya.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap pengerusi Biro Pendidikan PBB N8 Satok Abdul Samat Gani serta Timbalan Ketua Cawangan PBB N8 Satok Dato Ibrahim Baki.