Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Jambatan Datuk Amar Juma’ani ikonik baharu di Kuching
  • TEMPATAN

Jambatan Datuk Amar Juma’ani ikonik baharu di Kuching

Utusan Sarawak 1 day ago
PERTUNJUKAN bunga api semasa majlis perasmian Jambatan Datuk Amar Jumaani Tun Tuanku Haji Bujang. Foto JAPEN

KUCHING: Jambatan Sungai Bintangor yang dinanti-nantikan sekian lama oleh penduduk setempat kini dibuka secara rasmi dan dinamakan sebagai Jambatan Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, menjadi satu lagi ikon baharu pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, penamaan jambatan berkenaan merupakan cetusan ilham masyarakat Satok sendiri sebagai penghormatan kepada Allahyarhamah isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang tempoh 40 tahun perkhidmatannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

“Memang benar, beliau adalah tulang belakang saya semasa saya berkhidmat di kawasan DUN Satok. Apabila nama beliau dicadangkan oleh penduduk melalui wakil rakyat, saya tidak teragak-agak untuk menyokongnya.

“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada masyarakat Satok yang berbilang kaum dan agama kerana telah mengenang jasa roh isteri saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan jambatan itu malam tadi.

AMANAT… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyampaikan ucapan perasmian, malam tadi. Foto JAPEN

Menurut Abang Johari, perasmian jambatan itu merupakan hadiah hari jadi yang penuh makna, susulan perasmian Kompleks Satria Pertiwi pada hari sebelumnya yang kini menjadi pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri.

“Kompleks itu dilengkapi kemudahan keselamatan canggih dan menempatkan sekretariat Kabinet serta dokumen-dokumen penting kerajaan.

“Ia melambangkan satu pentadbiran negeri yang lebih mantap dan futuristik,” katanya sambil menyifatkan pembinaan jambatan tersebut sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan menyeluruh di kawasan Satok menuju bandar pintar.

RAKAM KENANGAN…. Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama kenamaan yang lain bergambar kenangan selepas majlis perasmian Jambatan Datuk Amar Jumaani Tun Tuanku Haji Bujang. Foto JAPEN

Beliau turut menjelaskan, pembangunan kawasan antara Antangum hingga Masjid Haji Taha sedang dirancang secara teratur agar penduduk kampung dapat membangunkan harta mereka tanpa menjejaskan kepentingan sendiri.

“Kita perlu berpandangan jauh. Apabila rakyat berubah untuk kebaikan, persekitaran juga akan berubah. Kita mahu perkampungan menjadi sebahagian daripada bandar pintar (smart city) dan jambatan ini adalah sebahagian daripada transformasi itu,” tambah beliau.

Jambatan sepanjang 108.5 meter itu dibina dengan kos RM50.6 juta merentasi Sungai Bintangor, mula dilaksanakan pada Disember 2019 dan kini menjadi antara jambatan unik di Sarawak dengan reka bentuk cablestay berkaki tiga menyerupai tripod yang membawa simbol kestabilan, kerjasama dan kemakmuran.

Menurut ADUN Satok yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Tenaga dan PETROS), Dato Ibrahim Baki, reka bentuk itu mencerminkan kekuatan pembangunan masyarakat yang berpaksikan nilai perpaduan.

PENERANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg fokus mendengar penerangan projek yang disampaikan oleh Pengarah JKR Sarawak. Foto JAPEN

“Jambatan ini bukan sahaja menghubungkan dua kawasan, tetapi akan menjadi tarikan pelancongan dan menggerakkan ekonomi setempat, selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui pembinaannya menghadapi cabaran teknikal yang menyebabkan kelewatan, termasuk gangguan kepada penduduk berhampiran yang kini sedang ditangani melalui proses baik pulih.

Jambatan ini turut dilengkapi pencahayaan LED yang menambah daya tarikan pada waktu malam dan berpotensi menjadi tarikan baharu pelancongan malam di Kuching.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, serta barisan menteri dan timbalan menteri Kabinet Sarawak.

Jambatan Datuk Amar Juma’ani bukan sekadar struktur fizikal merentasi sungai, tetapi menjadi lambang kasih masyarakat terhadap insan yang banyak berjasa dan menjadi penggerak senyap di sebalik kejayaan kepimpinan negeri.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: ‘Ini anak saya, bukan pengganti isteri’ – Abang Johari
Next: Tun Wan Junaidi bakal sempurnakan penutupan Pesta Benak Sri Aman 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.