BEKENU: Projek pembinaan Jambatan Bulau dengan kos sejumlah RM9.2 juta dijangka siap pada Ogos 2027 dan penilaian terkini, kemajuan pembinaan projek berkenaan telah mencapai 10.84 peratus.
Jambatan ini penting kerana menjadi penghubung antara Bekenu dan Kampung Bulau, selain menyediakan akses terus ke Lebuh Raya Pan Borneo yang sebelum ini belum mempunyai laluan penghubung berkenaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, Jambatan Kampung Bulau yang sedang dalam pembinaan itu mempunyai panjang kira-kira 90 meter, manakala kerja pembinaan jalan termasuk jalan pendekat (approach road) pula melibatkan jarak hampir setengah kilometer dari satu seberang ke seberang yang menghubungkan kawasan berkenaan hingga ke Kampung Bulau.
“Laluan tersebut akan menuju ke Jalan Pan Borneo dan terletak berhampiran Simpang Beluru, dengan jarak kira-kira enam kilometer dari Lebuh Raya Pan Borneo ke Kampung Bulau di Bekenu.
“Setakat ini, kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan berjalan lancar. Walaupun sebelum ini terdapat sedikit masalah teknikal yang menyebabkan kelewatan, perkara tersebut telah berjaya diatasi dan projek kini dapat diteruskan dengan lebih baik oleh pihak kontraktor yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada lawatan kerja ke tapak pembinaan Jambatan Kampung Bulau di sini hari ini.

Katanya, kos asal projek pembinaan jambatan ini adalah sebanyak RM6.09 juta, manakala tambahan sebanyak RM3.1 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan jalan pendekat (approach road).
“Dengan itu, jumlah keseluruhan kos pembinaan projek ini adalah kira-kira RM9.2 juta, merangkumi pembinaan jambatan konkrit bertetulang (RC concrete bridge) sepanjang 90 meter menggunakan teknologi Segmen Galang Berprestasi Ultra Tinggi (Ultra High Performance Girder Segment) serta pembinaan jalan sepanjang hampir setengah kilometer di kedua-dua belah jambatan sehingga ke Kampung Bulau.
“Seterusnya, laluan tersebut akan dihubungkan melalui jalan lama dari Kampung Bulau menuju ke Simpang Beluru, dengan jarak kira-kira enam kilometer sebelum bersambung ke Lebuhraya Pan Borneo,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Ketua Kampung Bulau (KK) Amin Antin berkata, kita sudah lama berharap supaya jambatan ini dapat disiapkan dengan segera.
“Pada hari ini, kita amat berbesar hati kerana Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Ir Aidel Lariwoo telah hadir melawat projek jambatan bersama-sama kita.
“Beliau menegaskan bahawa jambatan ini mesti dibina dengan baik dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Oleh itu, saya berharap projek ini dapat disiapkan dengan cepat supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh penduduk setempat,” katanya.
Oleh Adum Liu





