
MIRI: Jambatan Bukit Song kini telah mencapai 98 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap sebulan awal daripada jadual asal.
Semua kerja dilaksanakan dengan pemantauan rapi bagi memastikan ia mengikut spesifikasi serta jadual yang ditetapkan.
Menteri Kerja Raya (KKR) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Jambatan Bukit Song sepanjang 300 meter terpaksa dibuat berikutan kawasan tersebut tidak sesuai untuk tambakan disebabkan berlaku pergerakan tanah.
“Pembinaan jambatan itu dijadualkan siap Oktober dan dijangka dapat disempurnakan bulan depan sekali gus melengkapkan pembinaan lebuh raya itu sepenuhnya kepada semua pengguna Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan sendiri perkembangan terkini jambatan tersebut bagi Pakej WPC 11, Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak itu, semalam.


LAWATAN… Menteri Kerja Raya (KKR) Dato Sri Alexander Nanta Linggi ketika meninjau keadaan jambatan di Bukit Song sepanjang 300 meter yang terpaksa dibuat berikutan kawasan tersebut tidak sesuai untuk tambakan disebabkan berlaku pergerakan tanah.
Tambahnya, Pakej WPC 11 adalah pakej terakhir daripada 11 pakej kerja pembinaan LPB Sarawak.
“Saya turut meninjau dan diberi taklimat tentang kerja-kerja naik taraf jalan sepanjang 4.2 kilometer dan penukaran paip air baharu LAKU (kini dikenali sebagai Sarawak Water Sdn Bhd).
“Penukaran paip LAKU susulan kejadian paip pecah sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Kerja menaik taraf jalan 4.2 kilometer hanya boleh dimulakan selepas proses penukaran paip air LAKU dilaksanakan,” katanya lagi.
Justeru, kerja penukaran paip baharu dan naik taraf jalan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa bermula suku kedua 2026, dengan tempoh pelaksanaan dijangka mengambil masa 24 bulan.
Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Aidel Lariwoo.
Oleh Adum Liu