
BINTULU: Pembukaan awal Jambatan Bintulu-Jepak bukan sahaja mencipta sejarah, malah menandakan permulaan era baharu pembangunan pesat di kawasan pesisir khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, jambatan itu akan menjadi pemangkin utama dalam merapatkan jurang bandar dan luar bandar, sekali gus membuka peluang ekonomi yang lebih luas untuk penduduk setempat.
“Jambatan ini bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi simbol perubahan dan pemacu utama ekonomi kampung.
“Ia membuka laluan strategik ke pesisir serta menjimatkan masa perjalanan penduduk ke bandar.
“Akses yang lebih cepat bermakna lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan aktiviti perniagaan, dan kemudahan perkhidmatan untuk rakyat,” katanya ketika ditemui media semasa majlis Pra-Pelancaran Jambatan Bintulu-Jepak, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kelulusan projek berimpak tinggi yang telah lama dinantikan itu.
Meneruskan momentum pembangunan, beberapa inisiatif sedang dirancang bagi memaksimumkan potensi kawasan tersebut.
“Antara perancangan termasuk pembinaan ‘waterfront’, Anjung Usahawan, padang rekreasi dan pusat komersial Bintulu.
“Rumah mampu milik juga menjadi keutamaan dan sedang dalam skop perancangan kerajaan negeri.
“Keperluan ini sangat mendesak dan kita akan pastikan ia diberi perhatian,” katanya.
Tambah beliau, cadangan laluan baharu dari Bulatan Jepak ke Lapangan Terbang Bintulu juga bakal memberi kelebihan strategik kepada DUN Jepak.
“Laluan ini bukan hanya menghubungkan kawasan penting tetapi turut membuka potensi baharu dalam sektor pelancongan.
“Sudah ada peningkatan kehadiran pelawat ke kampung-kampung untuk membeli produk tempatan dan ini adalah satu petanda positif yang perlu dimanfaatkan,” ujarnya.
Dalam usaha merancakkan aktiviti ekonomi komuniti, satu pasar tani akan dilancarkan Mei ini dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), ketua kaum, serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Kita jemput penyertaan penduduk kampung, rumah panjang dan NGO seperti Bintulu Car Boot Sale.
“Jambatan ini memberi akses terus kepada lebih ramai pengunjung dan ini satu peluang yang perlu kita ambil,” katanya.
Dengan jaringan baharu itu, Jepak bukan lagi kawasan terpencil tetapi sedang muncul sebagai hab pesisir yang dinamik, selari dengan visi pembangunan Sarawak.
OLEH CAROLYNE UTIH