Jambatan besi Batang Layar ditutup lima hari bagi kerja pembaikan struktur

Facebook
WhatsApp
JAMBATAN Besi Batang Layar di Layar ditutup sepenuhnya bermula hari ini sehingga 9 September ini bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan struktur kekuda (truss) jambatan dilaksanakan. Foto: JKR

BETONG: Jambatan Besi Batang Layar di Layar ditutup sepenuhnya bermula hari ini sehingga 9 September ini bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan struktur kekuda (truss) jambatan dilaksanakan.

Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR), penutupan berkenaan bermula pada 12.00 tengah malam tadi, dan melibatkan semua pengguna jalan raya yang biasa menggunakan laluan tersebut.

JKR menjelaskan, kerja pembaikan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan struktur jambatan berada dalam keadaan baik serta selamat untuk digunakan oleh orang awam.

Sepanjang tempoh penutupan, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif yang telah disediakan seperti ditunjukkan dalam peta hebahan JKR.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai urusan di kawasan berkenaan diminta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan atau kesesakan akibat perubahan aliran trafik.

Pengguna jalan raya turut diingatkan supaya mematuhi semua papan tanda keselamatan, arahan petugas trafik serta berhati-hati ketika melalui kawasan berhampiran tapak pembinaan.

Sebarang pertanyaan berkaitan aliran trafik boleh diajukan kepada Pejabat JKR Bahagian Betong di talian 083-472 101 pada waktu pejabat.

JKR memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul susulan penutupan berkenaan serta menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna jalan raya sepanjang kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.

Oleh Adi Safarman