
KUCHING: Jambatan Batang Sejingkat bakal membuka koridor baharu yang menghubungkan kawasan pesisir dengan bandar raya Kuching apabila siap sepenuhnya pada Oktober ini, sekali gus memperkukuh jaringan infrastruktur di bahagian selatan Sarawak.
Pembinaan Jambatan Batang Sejingkat sepanjang 1.2 kilometer mengikut standard R5 (dua lorong berkembar) dijangka meningkatkan kecekapan rangkaian jalan raya, selain menjadi laluan penting kepada pengguna dari kawasan pesisir dan pedalaman Sarawak. Jambatan itu dianggarkan mampu menampung kira-kira 15,000 kenderaan sehari.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo, berkata projek berkenaan kini mencapai kemajuan 94 peratus dan mendahului jadual sebanyak satu peratus.
Beliau berkata, kerja-kerja akhir kini tertumpu kepada pembinaan jalan pendekat di kedua-dua hujung jambatan, manakala pembinaan struktur di bahagian Tanjung Bako hampir siap sepenuhnya.

“Projek ini dijangka siap lebih awal daripada tarikh siap kontrak pada 22 Oktober ini berdasarkan kemajuan semasa yang sangat memberangsangkan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Jambatan Batang Sejingkat.
Menurut beliau, kewujudan jambatan itu akan menyediakan laluan alternatif yang lebih baik kepada pengguna jalan raya, selain menyokong pertumbuhan pembangunan di kawasan Sejingkat, Tanjung Bako dan kawasan pesisir berhampiran.
Katanya, pembangunan infrastruktur itu juga selaras dengan perancangan jangka panjang kerajaan Sarawak untuk memperluas jaringan pengangkutan, termasuk pembangunan strategik di kawasan Tanjung Embang.
Dalam perkembangan sama, Aidel berkata projek Jambatan Batu Belat yang menghubungkan kawasan Tanjung Embang telah diluluskan dengan peruntukan hampir RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Beliau berkata, beberapa jajaran jalan baharu turut dirancang bagi menyokong pembangunan masa depan, termasuk cadangan pembinaan Lapangan Terbang Baharu Kuching serta pelabuhan laut dalam (deep seaport) di Tanjung Embang.
Oleh Norman B