
Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa melakukan simbolik prapelancaran Jambatan Batang Saribas 1 dekat sini hari ini. Foto: ADUN Bukit Saban
PUSA: Penantian lebih 60 tahun penduduk untuk melihat sebuah jambatan menyeberangi Sungai Saribas di sini, kini berakhir dengan siapnya pembinaan Jambatan Batang Saribas 1.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pembinaan Jambatan Batang Saribas 1 bernilai RM375.5 juta dan sepanjang 1.55 kilometer itu, dibuka mulai hari ini untuk kegunaan orang ramai.
Beliau menambah perkhidmatan feri juga akan menghentikan operasinya hari ini.
Uggah berkata jambatan itu juga termasuk jalan masuk di kedua-dua laluan sepanjang 6.5 kilometer.
“Dengan siapnya pembinaan jambatan ini, kita yakin ia akan merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial di sini, terutamanya dari kawasan Beladin dan kawasan lain di Bahagian Betong.
“Kita berharap ia akan membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan,” katanya semasa melakukan simbolik prapelancaran Jambatan Batang Saribas 1 dekat sini hari ini.
Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) berkata jambatan itu adalah yang kelima disiapkan daripada 16 jambatan yang sedang dibina negeri ini.
“Yang sudah siap ialah Jambatan Jepak, Marudi, Muara Lassa dan Batang Rajang. Lain-lain yang dijangka siap dalam tahun ini ialah Jambatan Sungai Lingga, Batang Igan, Batang Lupar 1, Sungai Limbang, Sebauh dan Sejingkat.
“Tahun depan kita jangka untuk siap juga di Jambatan Batang Paloh, Krian, Batang Lupar 2 dan Batang Saribas 2.
“Kita sebenarnya mengecilkan Sarawak kerana ia akan mengurangkan masa perjalanan melalui jalan raya di seluruh negeri. Seperti di Pusa di sini jika kita masih bergantung kepada perkhidmatan feri, kita perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 minit. Sekarang itu sudah berakhir,” ujarnya.
Uggah juga menambah kementeriannya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan terus memberi perhatian kepada semua kontraktor untuk menyiapkan projek jambatan masing-masing mengikut jadual dan tanpa menjejaskan kualiti.
“Kita akan sentiasa memantau mereka. Ini sebagai penghormatan dan komitmen kepada janji kami kepada penduduk luar bandar. Apabila kita berjanji, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menunaikan mengikut jadual kerana objektifnya adalah semata-mata untuk memberi manfaat kepada mereka.
“Apabila kita boleh tunaikan, ia adalah bukti konkrit kita bukan sekadar membuat janji manis atau hanya bercakap mulut sahaja seperti tuduhan pembangkang,” tegasnya.
Uggah turut disertai timbalannya Datuk Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat Datuk Mohammad Razi Sitam dan Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu serta Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kipli.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, ADUN Kalaka, Mohamad Duri, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau dan Pengarah JKR Dr Cassidy Morris.
Oleh ADI SAFARMAN