
LUNDU: Projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang bermasalah dan sepatutnya boleh diguna pada 2022, akhirnya dijangka siap menjelang hujung tahun ini.
Kini, kemajuan projek itu berjalan lancar dan berada pada tahap 73.27 peratus setelah diambil alih oleh kontraktor penyelamat pada 19 November 2024.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, meskipun terdapat sedikit cabaran dari segi jadual pelaksanaan, komitmen penuh daripada pihak kontraktor baharu diyakini mampu melonjakkan kemajuan kerja di tapak pembinaan.
“Berdasarkan pemantauan semasa, kemajuan projek kini berada pada tahap 73.27 peratus. Walaupun sedikit terlewat sekitar satu peratus daripada jadual asal, saya percaya dengan komitmen ditunjukkan oleh kontraktor, kita dapat mempercepatkan progres tersebut,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek tersebut, di sini, hari ini.
Aidel berkata jambatan itu adalah nadi penghubung utama bagi jajaran pertama jalan pesisir negeri, kini menunjukkan perkembangan positif dan dijangka mampu disiapkan menjelang akhir tahun ini.
Katanya, fasa kritikal iaitu pemasangan segmen pertama cable stay (kabel penahan) telah berjaya diselesaikan dan kerja-kerja bagi baki lapan segmen seterusnya kini sedang rancak dilaksanakan.
Mengulas mengenai aspek teknikal, beliau menegaskan bahawa kualiti dan keselamatan adalah keutamaan bagi kerajaan negeri.
Justeru, pihak kontraktor diwajibkan mematuhi prosedur kerja yang ketat, termasuk ujian beban (load test) terhadap form traveler serta proses ‘cable pre-tensioning’ (kabel prategasan) bagi memastikan struktur jambatan yang unik itu memenuhi spesifikasi tinggi.
“Jambatan Batang Rambungan ini agak istimewa dan unik reka bentuk cable stay-nya (kabel penahan) berbanding jambatan lain. Oleh itu, setiap proses pembinaan perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang isu teknikal yang tidak diingini, seperti yang pernah berlaku di tapak pembinaan lain sebelum ini,” jelasnya.
Selain Jambatan Batang Rambungan, katanya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada tiga lagi projek jambatan besar lain yang dijadualkan siap pada tahun ini, iaitu Jambatan Sejingkat yang dijangka siap pada Oktober, diikuti Jambatan Batang Paloh (November) dan Jambatan Batang Saribas 2 (hujung tahun).

Kehadiran jambatan-jambatan ini bukan sahaja akan memendekkan tempoh perjalanan, malah bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi penduduk di kawasan pesisir Sarawak.
Untuk rekod, Jambatan Batang Rambungan sepanjang 560 meter itu merupakan sebahagian daripada projek jalan pesisir negeri sepanjang 896 kilometer yang menghubungkan kawasan dari Simpang Sampadi, Lundu sehingga ke Bakam, Miri.
Projek jambatan ini bermula pada 17 Disember 2019 dengan tempoh siap asal pada 16 Disember 2022.
Namun, kelewatan berlaku susulan kekurangan tenaga kerja, kaedah pelaksanaan serta kegagalan memenuhi jadual ditetapkan JKR. Projek itu sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit.
Bagi memastikan kelancaran, kerajaan negeri melantik Titanium Project Management Sdn Bhd sebagai kontraktor penyelamat yang memulakan kerja pada 19 November 2024.
Oleh Shikin Mahmud