Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Jambatan Batang Rambungan dijangka siap awal, digunakan sebelum hujung tahun
  • TEMPATAN

Jambatan Batang Rambungan dijangka siap awal, digunakan sebelum hujung tahun

Utusan Sarawak 1 day ago
TAKLIMAT… Datuk Aidel Lariwoo (tengah) diberi taklimat mengenai perkembangan semasa projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang kini mencatat kemajuan fizikal 64.95 peratus. Foto UKAS

LUNDU: Jambatan Batang Rambungan, mercu tanda utama di laluan pertama Projek Jalan Pesisir Pantai Sarawak (Sempadi–Lundu), dijangka siap sepenuhnya dan boleh digunakan orang awam sebelum hujung tahun ini meskipun tarikh siap kontrak asal ditetapkan pada Mei 2027.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek bernilai RM82 juta itu kini mencatat kemajuan fizikal 64.95 peratus, melepasi jadual asal sebanyak 18.21 peratus dan masih berada dalam perancangan yang ditetapkan.

Menurut beliau, walaupun projek berkenaan pernah mengalami sedikit kelewatan pada peringkat awal, isu yang timbul telah berjaya diselesaikan dan kerja pembinaan kini berjalan lancar.

TINJAU… Datuk Aidel Lariwoo meninjau kemajuan pembinaan Jambatan Batang Rambungan semasa lawatan tapak di laluan Sempadi–Lundu, hari ini. Foto UKAS

“Tujuan lawatan tapak hari ini adalah untuk memastikan pihak kontraktor terus komited menyiapkan pembinaan jambatan ini dalam tahun ini, seperti yang telah dijanjikan,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke tapak projek kerja Jambatan Batang Rambungan, di sini.

Jambatan sepanjang 560 meter itu dibina menggunakan kaedah kabel dengan sembilan kabel pada setiap tiang, dan merupakan struktur paling besar serta ikonik di sepanjang laluan Sempadi–Lundu.

Beliau menjelaskan, kelewatan sebelum ini berpunca daripada beberapa isu teknikal termasuk penggunaan bahan Abu Bahan Api Terpulver (PFA) dalam campuran konkrit yang memerlukan kelulusan khas.

“Penggunaan PFA memerlukan kelulusan bukan sahaja daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), malah juga pihak Persekutuan. Namun begitu, semua isu teknikal berkaitan telah diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau, selepas Mei ini, kemajuan projek dijangka meningkat dengan ketara apabila komponen utama seperti kabel jambatan tiba di tapak, sekali gus membolehkan kerja pemasangan menara (pylon) dan dek jambatan (decking) dijalankan secara menyeluruh.

“Apabila kerja pemasangan menara dan dek jambatan dilaksanakan sepenuhnya, peratus kemajuan fizikal akan meningkat mendadak. Kita menjangkakan jambatan ini dapat siap dan digunakan sekitar November atau Disember,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan laluan Sempadi–Lundu turut melibatkan pembinaan lapan jambatan kecil yang kesemuanya telah siap sepenuhnya, menjadikan Jambatan Batang Rambungan sebagai satu-satunya struktur utama yang masih dalam pembinaan di jajaran tersebut.

Beliau juga memaklumkan projek jalan dua lorong sepanjang kira-kira tujuh kilometer yang berkaitan kini berada pada peringkat tender dan dijangka dilaksanakan di bawah Fasa Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Wanita PRS mulakan gerak kerja strategik hadapi PRN13  
Next: 310 aktiviti setahun bukti keaktifan Saberkas di seluruh Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.