SARIKEI: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menentukan tarikh sebenar orang ramai boleh menggunakan Jambatan Batang Rajang, Sarikei apabila ia siap pada Mac 2025.
Laluan itu membolehkan orang ramai yang mendiami kawasan pesisiran Rajang, Pulau Bruit dan Matu-Daro, tidak perlu lagi ke Sibu jika menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching, Sri Aman, Betong dan Saratok.
Sebaliknya, mereka boleh meneruskan perjalanan dari Sarikei terus ke Tanjung Manis yang dijangka memakan masa hanya kira-kira 45 minit, berbanding dua hingga tiga jam perjalanan jika terpaksa melalui Sibu seperti sekarang termasuk untuk ke Daro.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dijangka melakukan simbolik penyambungan sektor yang terakhir Jambatan Batang Rajang, Sarikei pada Jumaat ini, 8 November 2024.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, mengikut jadual projek Jalan Pasi ke Jalan Sibu/Tanjung Manis termasuk Jambatan Batang Rajang yang menelan belanja RM321 juta itu dijangka siap pada Mac 2025.
“Selepas penyambungan jambatan ini, ia masih belum dapat dilalui lagi kerana ada sektor jalan, terutama sekali di sebelah Tanjung Manis masih perlu dibina dalam beberapa rantaian lagi…kerana mengikut jadual, ia siap dalam Mac 2025.
“Setelah siap mengikut jadual atau lebih awal dari jadual, pihak kontraktor akan menyerahkan projek berkenaan kepada pihak JKR. Terserah kepada JKR (bila) membenarkan jambatan dan jalan raya digunakan oleh orang ramai,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, disidang media bersama Uggah semasa lawatan kerja beliau ke Pakej 01: Cadangan Pembinaan & Penyiapan Jalan Pasi ke Jalan Sibu/Tanjung Manis termasuk Jambatan Batang Rajang pada 9 Ogos 2024, beliau berkata, projek ini memendekkan masa perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis.
“Pada masa sekarang, masa perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis adalah lebih dua jam.
“Apabila siap nanti, ia hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit.
“Setelah siap sepenuhnya, projek ini sangat berfaedah untuk masyarakat setempat di sekitar Sarikei dan Tanjung Manis bagi meningkatkan lagi kegiatan ekonomi,” katanya.
Oleh Earl Anek