
SARIKEI: Jambatan Batang Rajang kini secara rasmi dinamakan sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman, sebagai penghormatan kepada tokoh negarawan Sarawak yang berjasa besar dalam pembangunan negeri ini.
Pengumuman rasmi mengenai penamaan baharu jambatan tersebut dibuat oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, semasa majlis perasmian Jalan Pasi ke Jalan Sibu/Tanjung Manis dan jambatan tersebut, hari ini.
Menurut beliau, Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang yang dilahirkan di Sibu pada 12 Disember 1898, merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak kedua, berkhidmat dari 1969 hingga 1977.
“Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam Sarawak pada 1934 dan menunjukkan dedikasi serta kepimpinan yang cemerlang sepanjang perkhidmatannya,” ujar Uggah.
Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, beliau aktif dalam bidang politik dan merupakan salah seorang pengasas Barisan Ra’ayat Jati Sarawak (BERJASA).
Beliau juga memainkan peranan penting dalam penggabungan BERJASA dan Parti Negara Sarawak (PANAS) untuk membentuk Parti Bumiputera pada 1968.

Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang juga dikenang sebagai tokoh utama yang bersama dengan Ketua Parti Pesaka ketika itu, Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng, dalam usaha menyatukan Parti Bumiputera dan Parti Pesaka untuk membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Mereka berdua adalah antara pengasas utama yang memperjuangkan penyertaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia,” kata Uggah.
Tambah beliau, legasi Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang dalam sejarah Sarawak sangat signifikan, khususnya dalam aspek perpaduan dan pembangunan ekonomi di Wilayah Tengah.
“Beliau dikenang sebagai pemimpin berkaliber yang dihormati atas sumbangan besar kepada Sarawak dan negara.
“Pemilihan nama jambatan ini adalah amat bertepatan bagi memperingati jasa beliau dalam politik dan pembangunan negeri,” ujarnya.
Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang meninggal dunia pada November 1986.
Oleh Earl Anek