DARO, 8 Oktober: Pembukaan Jambatan Batang Paloh yang dijadualkan pada 30 Oktober ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk daripada 14 penempatan di Pulau Bruit, sekali gus melengkapkan jaringan perhubungan jalan pesisir di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penyiapan jambatan itu amat dinantikan penduduk selepas projek berkenaan mengalami kelewatan kira-kira dua tahun akibat beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan
Menurutnya, kemudahan tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi setempat, khususnya sektor pertanian dan perikanan.
“Bagi pihak kira-kira 12,000 penduduk daripada 14 penempatan di Pulau Bruit, saya amat bersyukur kerana akhirnya penantian sekian lama untuk melihat Jambatan Batang Paloh siap menjadi kenyataan.
“Dengan siapnya jambatan ini, lengkaplah rangkaian perhubungan jalan pesisir yang amat penting untuk memudahkan penghantaran hasil laut dan pertanian ke pasaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyambungan Bongkah Terakhir Jambatan Batang Paloh, sebentar tadi.

Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, Pulau Bruit yang merupakan pulau kedua terbesar di Malaysia kini mempunyai dua jambatan utama yang menghubungkannya dengan kawasan sekitar.
Menurutnya, satu lagi jambatan berkenaan ialah Jambatan Batang Lassa sepanjang 2.4 kilometer yang disifatkannya sebagai jambatan kedua terpanjang di Malaysia.
Beliau berkata, dalam lingkungan kira-kira 50 kilometer di kawasan itu sahaja, empat jambatan utama dibangunkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu Jambatan Batang Rajang (Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang), Batang Lassa, Batang Paloh dan Batang Igan.
Katanya, pembinaan jambatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha melengkapkan jaringan jalan pesisir Sarawak sepanjang kira-kira 900 kilometer yang telah diperjuangkan sejak 2015.
“Jaringan jalan pesisir ini melibatkan pembinaan tidak kurang daripada 20 jambatan utama dengan nilai keseluruhan projek jambatan dianggarkan sekitar RM11 bilion, tidak termasuk pembinaan jalan raya.
“Bagi saya, jalan raya dan jambatan merupakan urat saraf kepada perkembangan ekonomi masyarakat luar bandar, selain membuka kawasan baharu untuk aktiviti ekonomi,” ujarnya lagi.
Abdullah berkata, penyediaan infrastruktur perhubungan yang lebih baik juga berpotensi mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar apabila lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan di kawasan masing-masing.
Beliau memberitahu, Sarawak mempunyai kawasan tanah yang luas dan pembangunan sektor pertanian di luar bandar terus menjadi antara tumpuan kerajaan negeri.
“Apabila jaringan jalan raya semakin lengkap, lebih banyak aktiviti ekonomi dapat diwujudkan di kawasan pedalaman.
“Ini secara tidak langsung boleh mengurangkan penghijrahan penduduk desa ke bandar kerana mereka mempunyai peluang untuk menjana pendapatan di kawasan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemampuan kewangan kerajaan Sarawak merupakan antara faktor penting yang membolehkan pelbagai projek infrastruktur berskala besar dilaksanakan, khususnya di luar bandar.
Katanya, pendapatan kerajaan negeri yang sekitar RM7 bilion pada 2017 telah meningkat kepada kira-kira RM14 bilion dalam tempoh lapan tahun.
“Pembinaan infrastruktur awam memerlukan perbelanjaan yang besar, lebih-lebih lagi Sarawak mempunyai keluasan wilayah yang hampir menyamai Semenanjung Malaysia.
“Apabila kerajaan mempunyai kemampuan kewangan, pelbagai keperluan dan permintaan rakyat terhadap kemudahan awam dapat direalisasikan,” jelasnya.
Beliau turut menghargai komitmen kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menurutnya memberi penekanan terhadap pembangunan luar bandar.
Katanya, kira-kira 60 peratus daripada peruntukan pembangunan kerajaan Sarawak setiap tahun ditumpukan kepada kawasan luar bandar.
Abdullah berkata, pembinaan jambatan dan jalan raya turut membuka ruang untuk memperluas penyaluran bekalan air bersih serta elektrik ke kawasan pedalaman.
Menurutnya lagi, jambatan yang dibina boleh dimanfaatkan sebagai laluan pemasangan paip utama bagi meningkatkan kapasiti bekalan air ke Pulau Bruit dan kawasan sekitarnya.
“Selain jalan raya dan jambatan, kerajaan turut melaksanakan projek penyaluran bekalan air dan elektrik yang melibatkan perbelanjaan berbilion ringgit.
“Pembinaan jambatan juga membolehkan pemasangan paip air bersaiz besar untuk meningkatkan penyaluran bekalan air ke kawasan seperti Pulau Bruit,” katanya.
Mengulas mengenai perkhidmatan feri, beliau berkata, operasi feri sedia ada dijangka ditamatkan apabila Jambatan Batang Paloh dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pekerja feri yang telah berkhidmat lebih sedekad dalam memastikan kelancaran perhubungan penduduk.
“Bagi pihak penduduk Pulau Bruit, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja feri yang telah memberikan perkhidmatan sepanjang tempoh ini.
“Mereka sentiasa bekerjasama dan bersabar, terutama ketika musim perayaan apabila perkhidmatan feri terpaksa diteruskan sehingga tengah malam,” katanya.
Beliau berkata, satu majlis penghargaan juga dirancang bagi mengenang jasa pekerja feri yang kebanyakannya merupakan penduduk tempatan.
Selain itu, katanya, penganjuran pesta di Pulau Bruit turut dirancang selepas jambatan berkenaan dibuka kepada orang ramai sebagai tanda meraikan kemudahan perhubungan baharu tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Moris serta yang lain.
Oleh Akun Giman




