
MALUDAM: Pembinaan Jambatan Batang Lupar yang kini rancak dilaksanakan bukan sekadar satu projek infrastruktur fizikal bagi melengkapkan jajaran pesisir Sarawak, malah ia dianggap sebagai ‘jambatan silaturrahim’ yang bakal menyatukan semula ikatan kekeluargaan penduduk di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, kehadiran jambatan ikonik itu akan menamatkan keterpisahan keluarga yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan feri untuk bergerak dan berhubung antara satu sama lain.

Beliau menjelaskan bahawa penduduk kini boleh menarik nafas lega kerana apabila siap kelak, pergerakan pergi dan balik tidak lagi terbatas kepada jadual operasi pengangkutan air, sekali gus memberikan kebebasan waktu untuk urusan kecemasan mahupun ziarah.
”Jambatan Batang Lupar bukan sahaja menghubungkan jajaran di kawasan pesisir, malahan ia juga merupakan sebuah jambatan silaturrahim untuk penduduk di sini yang selama ini dipisahkan oleh sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Santunan Mesra Aidilfitri di Dewan Serbaguna Maludam, semalam, yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.

Mengulas lanjut, Mohamad Shafizan menjelaskan, sebelum ini perjalanan ke bandar-bandar utama seperti Kuching memakan masa yang agak lama melalui Lebuh Raya Pan Borneo, atau terhenti sepenuhnya selepas jam 10 malam apabila operasi feri ditamatkan.
Selain aspek sosial, beliau menegaskan bahawa jambatan tersebut bakal membawa limpahan ekonomi yang signifikan kepada penduduk setempat melalui akses pasaran yang lebih luas dan pantas bagi produk-produk luar bandar.
Menyentuh mengenai majlis tersebut, beliau menyatakan keunikan sambutan tahun ini yang menampilkan konsep ‘Ringo Rayo’, iaitu adaptasi tradisi kenduri masyarakat kampung yang sering diamalkan dalam majlis pernikahan dan keramaian setempat.
Mohamad Shafizan turut memuji keindahan perpaduan di Sarawak di mana semua bangsa saling meraikan perayaan kaum lain, yang menurutnya merupakan satu aset berharga yang perlu dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat agar sentiasa waspada terhadap pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan menggunakan media sosial sebagai medium untuk menanam benih perpecahan dan kebencian.
Tegasnya, naratif negatif sebegitu mestilah ditolak sepenuhnya kerana keharmonian Sarawak hari ini dibina atas asas persefahaman, toleransi, dan rasa kebersamaan yang amat tinggi antara pelbagai kaum sejak sekian lama.
Mohamad Shafizan turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Pejabat Daerah Kecil Maludam, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, serta Jawatankuasa Masjid Mualimin atas kerjasama menjayakan majlis yang penuh bermakna itu.
Oleh Adi Safarman