Jambatan Batang Lupar dan projek infrastruktur bakal pacu ekonomi penduduk Maludam

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MALUDAM: Pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Maludam dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, pembinaan Jambatan Batang Lupar bersama beberapa projek pembangunan lain akan memperkukuh jaringan perhubungan serta meningkatkan aksesibiliti ke kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kemudahan infrastruktur yang lebih baik akan membuka peluang lebih luas kepada masyarakat untuk mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain membantu memasarkan produk tempatan ke pasaran lebih meluas.

Beliau berkata, usaha kerajaan melaksanakan pembangunan secara berterusan membuktikan komitmen dalam memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, menikmati kemudahan yang lebih moden dan berkualiti.

Dayang Noorazah turut memaklumkan bahawa Dataran Baharu Maludam telah siap dibina, manakala beberapa projek pembangunan lain akan diteruskan secara berfasa mengikut perancangan bagi memenuhi keperluan penduduk.

“Pelaksanaan projek-projek ini diharap dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat selain mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk pembangunan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Hari Bersama Pelanggan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Maludam, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan yang disediakan kerajaan serta terus mengukuhkan perpaduan dan kerjasama dengan pemimpin serta agensi kerajaan bagi menjayakan agenda pembangunan kawasan.

Beliau berkata, sokongan padu daripada masyarakat amat penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang dapat memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta menyumbang kepada kemajuan Maludam secara menyeluruh.

Program Hari Bersama Pelanggan itu turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kaunter, khidmat nasihat serta penerangan mengenai inisiatif dan perkhidmatan kerajaan.

Program tersebut sekali gus memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih secara langsung daripada agensi berkaitan.

Oleh Adi Safarman