
SEBUYAU: Projek Jambatan Batang Lupar 1 yang bakal mencatat sejarah sebagai jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia, kini mencapai kemajuan 84 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2026.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pembinaan jambatan ikonik itu berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
“Tadi kita bincang bahawa projek ini boleh kita gunakan pada Hari Gawai 2026. Kita harap semua masalah yang dihuraikan dapat diselesaikan dan kita akan sentiasa melawat serta memantau pembinaan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerja ke tapak projek di Sebuyau, hari ini.
Jambatan sepanjang 4.8 kilometer ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Sarawak untuk memperkukuh jaringan jalan pesisir.
Ia juga bertujuan menggantikan sepenuhnya perkhidmatan feri antara Sebuyau dan Triso yang telah lama menjadi penghubung utama penduduk setempat.
Projek bernilai RM848.7 juta itu dimulakan pada 7 Januari 2021 dan menjadi antara 16 jambatan besar yang kini sedang dalam pembinaan di seluruh Sarawak.
“JKR sentiasa turun padang untuk menilai, mengkaji, dan membincangkan segala isu yang timbul. Sasaran kita ialah untuk meminimumkan jumlah projek sakit di negeri ini,” tambahnya.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan turut memaklumkan bahawa satu lagi projek jambatan baharu telah pun dimulakan di Miri Marina, melibatkan kos sebanyak RM6.53 bilion.
“Harapan kerajaan ialah supaya semua perbelanjaan ini memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri melalui pengukuhan infrastruktur,” tambahnya.
Terdahulu, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah diberi taklimat mengenai status terkini projek oleh Pengarah JKR Sarawak, Cassidy Morris bersama barisan kepimpinan teknikal daripada Perbena Emas dan Pejabat Daerah Sebuyau.
Turut hadir Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang. -UKAS