
SEBUYAU: Pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 kini telah mencapai kemajuan 93.09 peratus dan berada mengikut jadual yang ditetapkan, sekali gus memberi keyakinan bahawa projek berkenaan akan dibuka kepada orang awam menjelang hujung Mei ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan berkenaan yang terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari Pekan Sebuyau dijangka dirasmikan pada Jun depan sekiranya segala kerja pembinaan berjalan lancar seperti dirancang.
Menurut beliau, Jambatan Batang Lupar 1 merupakan antara projek infrastruktur utama yang signifikan di Sarawak dengan panjang keseluruhan kira-kira 4.8 km, menghubungkan Sebuyau dan Maludam, serta menjadi komponen penting kepada jaringan Jalan Pesisir negeri ini.

“Tahun ini boleh dianggap sebagai tahun menuai jambatan untuk Sarawak kerana kita menjangkakan sebanyak sembilan jambatan utama akan siap.
“Jambatan tersebut termasuk di Batang Igan, Sungai Krian, Sungai Limbang, Batang Lupar 1, Batang Lupar 2 di Sri Aman, Batang Paloh, Batang Saribas No.2, Sungai Sejingkat dan Batang Rambungan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau tapak pembinaan jambatan berkenaan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua projek jambatan tersebut dipantau secara rapi oleh kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual, memandangkan ia merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di seluruh negeri.
“Dahulu, penduduk terpaksa bergantung kepada perahu dan keadaan pasang surut air sungai. Dengan siapnya jambatan ini, cara perhubungan akan berubah sepenuhnya dan memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat,” ujarnya lanjut.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa jambatan ikonik seperti Jambatan Batang Lupar 1 berpotensi menjadi mercu tanda baharu Sarawak yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
“Ini bukan lagi sekadar janji, tetapi sesuatu yang sedang berlaku dan akan dapat dirasai oleh rakyat di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau turut mengakui faktor cuaca merupakan antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek, sambil berharap keadaan cuaca yang baik akan berterusan bagi memastikan kerja pembinaan dapat diteruskan dengan lancar.
Mengulas perkembangan seterusnya, beliau berkata kerja penyambungan menara jambatan disasarkan bermula Mac ini, dengan menara Jambatan Batang Lupar 1 setinggi 110 meter (m), manakala Jambatan Batang Lupar 2 pula merupakan jambatan tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 145 m.
oleh Adele Rissa