Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Jambatan Batang Lupar 1 bukti Sarawak mampu biayai projek rakyat guna dana sendiri
  • TEMPATAN

Jambatan Batang Lupar 1 bukti Sarawak mampu biayai projek rakyat guna dana sendiri

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 1.

SEBUYAU: Pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 membuktikan keupayaan kerajaan Sarawak meneruskan projek infrastruktur penting menggunakan dana sendiri demi manfaat rakyat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, projek itu mempunyai sejarah panjang apabila ia pada asalnya diluluskan ketika pentadbiran Barisan Nasional bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem hari ini.

Bagaimanapun katanya, projek berkenaan kemudian dibatalkan selepas pertukaran Kerajaan Persekutuan pada 2018.

“Apabila berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan pada 2018, kerajaan ketika itu memutuskan bahawa jambatan ini tidak perlu dibina.

“Namun, kita di Sarawak tetap mencari penyelesaian kerana jambatan ini merupakan permintaan rakyat di kawasan ini melalui wakil-wakil rakyat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 1, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, kerajaan Sarawak kemudian mengambil langkah memperkukuh hasil negeri melalui pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST), termasuk hasil daripada Petronas, walaupun pada awalnya berdepan cabaran mahkamah.

“Alhamdulillah, kita menang dalam kes tersebut. Sebab itu pendapatan Sarawak bertambah dan kita gunakan balik pendapatan ini untuk projek-projek yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak, termasuk Jambatan Batang Lupar 1,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan jambatan itu amat penting kerana sebelum ini penduduk bergantung kepada perkhidmatan feri yang berdepan pelbagai risiko, termasuk keadaan gelombang dan angin kuat di Kuala Batang Lupar.

Katanya, jambatan itu bukan sahaja menyelesaikan isu perhubungan antara kawasan, malah membuka ruang kepada pembangunan ekonomi baharu di kawasan pesisir Sarawak.

“Semua jambatan yang kita bangunkan ini menggunakan dana Sarawak sendiri. Inilah fakta yang perlu diketahui,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, wakil rakyat, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta kementerian berkaitan yang terlibat dalam merealisasikan projek tersebut.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan terus memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan kawasan luar bandar melalui pembangunan infrastruktur yang lebih menyeluruh, termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar 2.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Jambatan utama di Sarawak direka jangka hayat sekitar 100 tahun – JKR
Next: Jambatan Batang Lupar 1 bukti keupayaan jurutera Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.