
SEBUYAU: Kejayaan menyiapkan Jambatan Batang Lupar 1 bukan sahaja membuka laluan baharu merentasi Batang Lupar, malah membuktikan keupayaan jurutera tempatan serta kemampuan Sarawak melaksanakan projek infrastruktur bertaraf mega menggunakan kepakaran dan dana sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek berkenaan menunjukkan jurutera Sarawak mempunyai standard dan kemampuan setanding di peringkat antarabangsa dalam melaksanakan pembangunan strategik.
“Kita bukan sekadar merasmikan sebuah jambatan, tetapi mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Sarawak mampu melaksanakannya. Beri tugas kepada jurutera kita, mereka boleh menyiapkannya. Itulah standard dan kualiti jurutera Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1, hari ini.
Menurutnya, jambatan berkenaan akan meningkatkan hubungan antara kawasan luar bandar dengan pusat pertumbuhan ekonomi, sekali gus memudahkan pemasaran hasil pertanian, perikanan dan produk tempatan.
Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur itu akan diperkukuh dengan jaringan pengangkutan lain termasuk sektor udara menerusi syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo.
“Kita mempunyai AirBorneo, jadi apabila infrastruktur lengkap, hasil kita boleh dieksport keluar dan sampai ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan pada asalnya diluluskan di bawah Kerajaan Persekutuan sebelum dibatalkan pada 2018, namun kerajaan Sarawak mengambil keputusan meneruskannya menggunakan dana sendiri yang hampir mencecah RM1 bilion.
Katanya, kejayaan menyiapkan jambatan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh ekonomi luar bandar melalui pembangunan infrastruktur.
“Apabila infrastruktur lengkap, hasil pertanian dan perikanan lebih mudah dipasarkan. Ini akan meningkatkan ekonomi luar bandar dan pendapatan rakyat,” katanya.
Oleh Norman B