PEMBINAAN jambatan merentasi Sungai Batang Igan yang bernilai RM285 juta menghubungkan Matu/Daro ke Mukah, bakal mengubah landskap sosioekonomi di kawasan sekitarnya.
Jambatan Batang Igan ini kelak mampu membawa limpahan kemajuan dan impak ekonomi ke kawasan tersebut.
Impak ini memberi manfaat kepada ribuan penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada pekebun kecil untuk mengeluarkan hasil pertanian mereka.
Ini khususnya membantu memendekkan masa perjalanan dan menjimatkan kos pengangkutan masyarakat luar bandar untuk ke pusat bandar termasuk menjual produk diusahakan.
Projek jambatan sepanjang 1.38 kilometer dengan jalan tuju sepanjang 4.1 kilometer dari kedua-dua belah arah dengan standard Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 dan dua lorong itu dijangka siap dalam tempoh 48 bulan.
Jambatan yang telah lama didambakan oleh penduduk kawasan ini telahpun dirasmikan majlis pecah tanahnya pada pada 12 September 2020 oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari berkata, Jambatan Batang Igan adalah amat strategik untuk kawasan Mukah keseluruhannya.
Katanya, jambatan ini adalah penghubung terakhir jambatan di kawasan tersebut.
“Dengan ini keseluruhan kawasan Mukah akan dihubungi dari Jalan Pasi ke Tanjung Manis, Jambatan Rejang, Jambatan Paloh, Jambatan Lassa dan Jambatan Batang Igan.
“Ini memberi potensi yang cerah bagi Industri pertanian dan perternakan, pemprosesan di Tanjung Manis,termasuk industri perkapalan di Muara Paloh sekali gus akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di kawasan ini,” katanya.
Jelas beliau, infrastruktur tersebut bukan hanya di kawasan pesisir, malah turut memberi impak di kawasan lain seperti Baleh, Ulu Rajang, Lawas Limbang dan seluruh Sarawak.
Beliau seterusnya berharap pendekatan strategik kerajaan bakal memperkasakan digital ekonomi yang telah diperkenalkan oleh beliau semenjak menerajui Sarawak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata projek berkenaan akan menjadi pelengkap kepada rangkaian jalan pesisir luar bandar.
“Projek itu memberi impak yang tinggi dalam konteks pembangunan sosioekonomi kawasan luar bandar.
“Sehubungan itu, dalam jangka waktu empat tahun pembinaan jambatan ini, saya menggesa penduduk bersiap sedia mulai sekarang untuk mencipta peluang perniagaan bagi menambah sumber pendapatan,” katanya.
Ahmad Johnie berkata, berbanding sebelum ini, penduduk dari daerah Daro dan Matu terpaksa menunggu dan beratur berjam-jam di pangkalan Feri Batang Igan untuk ke Mukah.
Ini kerana katanya, kapasiti feri yang terhad dengan jumlah kenderaan yang semakin banyak terutama pada musim perayaan.
“Siapnya jambatan ini nanti akan memberi manfaat seperti memudahkan serta mempercepatkan perjalanan penduduk yang berhampiran,” katanya lagi.
Menurut beliau, projek Jambatan Igan akan diteruskan dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Oleh NURZILLA MOHAMAD