LAWAS: Kerja pembinaan Jambatan Bandar Lawas baharu dijangka siap pada awal 2025. Projek bernilai RM150 juta ini yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) kini sedang menjalankan kerja cerucuk dan pembukaan tapak yang mana Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd merupakan kontraktor.
Setelah siap, jambatan ikonik ini dengan menara gerbang dan kabel gantung yang dihiasi lampu LED akan mengurangkan masa perjalanan menyeberangi Sungai Batang Lawas untuk pergi ke Jalan Pulau Salam di sebelah utara dan Kampung Ladang Baru di sebelah selatan di Bandar Lawas.
Projek ini merupakan salah satu daripada 168 projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) yang telah diperuntukkan RM1.5 bilion oleh Kerajaan Sarawak untuk merancakkan pembangunan infrastruktur di Limbang dan Lawas.
Pelancaran projek Jambatan Bandar Lawas telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi NRDA pada petang Selasa.
NRDA adalah salah satu daripada tiga agensi ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri di bawah RECODA yang mana dua lagi agensi di bawahnya adalah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni dalam ucapan ringkasnya berkata, projek Jambatan Bandar Lawas yang bermula pada 26 Mei tahun ini melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 642 meter dan lebar sebesar 12.4 meter termasuk 1.1 kilometer jalan masuk ke jambatan.
Beliau menegaskan bahawa RECODA akan memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual dan memenuhi skop dan piawaian.
Dalam pada itu, Awang Tengah dalam ucapannya berkata selain daripada projek jambatan ini, NRDA juga akan melaksanakan beberapa projek besar termasuk pembinaan Lapangan Terbang Baharu Lawas dan Lebuhraya Northern Coastal sepanjang 86 kilometer yang dijangka bermula pada suku pertama dan kedua tahun depan masing-masing.
Beliau juga berkata, projek pembangunan petrokimia di Lawas akan melihat pembinaan kompleks penapisan petrokimia bersepadu dengan nilai pelaburan sejumlah AS$5 bilion yang akan memberi peluang pekerjaan kepada para penduduk.
Kerajaan Sarawak katanya, akan mempercepatkan pembangunan infrastruktur bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat dicapai seterusnya akan meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pendapatan yang tinggi.