

JAMBATAN besi baharu yang siap sepenuhnya di Rumah Lawang, Ulu Sebauh kini memudahkan pergerakan harian penduduk dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Foto Facebook Iskandar Turkee
BINTULU: Penduduk Rumah Lawang Ringkai di Ulu Sebauh kini boleh menarik nafas lega apabila jambatan besi baharu yang menggantikan jambatan kayu lama yang usang dan berisiko siap sepenuhnya.
Pembinaan jambatan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 oleh Kerajaan Sarawak menerusi peruntukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Bagi penduduk setempat, jambatan ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi simbol perubahan yang meningkatkan tahap keselamatan dan kemudahan harian mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, pembinaan jambatan tersebut amat signifikan kerana ia bukan sahaja menjamin keselamatan pengguna, malah mempercepat urusan harian penduduk luar bandar.
“Sebelum ini, penduduk terpaksa melintasi jambatan kayu lama yang usang dan membahayakan terutamanya ketika hujan atau banjir.
“Kini, dengan jambatan besi yang kukuh ini, anak-anak dapat ke sekolah dan petani ke kebun dengan lebih selamat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Jambatan baharu itu dibina menggunakan struktur besi sepenuhnya untuk menjamin ketahanan jangka panjang terhadap arus sungai deras dan perubahan cuaca.
Dengan siapnya jambatan berkenaan, harapan baharu terbuka buat penduduk yang selama ini berdepan pelbagai cabaran logistik.
Inisiatif seumpama itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperjuang hak dan kesejahteraan komuniti luar bandar.
Oleh Carolyne Utih