Jambatan baharu Ulu Kedoh bakal tamatkan kebimbangan penduduk – Friday Belik

Facebook
WhatsApp
FRIDAY Belik menyaksikan upacara pemberkatan tapak pembinaan jambatan I-Beam baharu di Jalan Ulu Kedoh, Sebelak, pagi tadi. Foto ADUN Krian

ROBAN: Penduduk di Rumah Andrew Aji dan Rumah Dius di Kedoh Ulu, Sebelak, kini boleh menarik nafas lega apabila kebimbangan mereka terhadap keselamatan laluan harian bakal berakhir.

Projek pembinaan sebuah jambatan I-Beam baharu di Jalan Ulu Kedoh bakal direalisasikan bagi menggantikan laluan sedia ada yang semakin daif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, memaklumkan bahawa struktur jambatan kayu sedia ada kini berada dalam keadaan kurang memuaskan.

“Langkah penambahbaikan ini diambil demi memulihkan semula infrastruktur perhubungan utama di kawasan berkenaan bagi kemudahan serta kesejahteraan masyarakat setempat. Masalah kerosakan jambatan kayu tersebut berpunca daripada kejadian banjir besar yang berlaku pada 2024 dan 2025.

“Dalam tempoh berkenaan, laluan itu berulang kali terjejas akibat rempuhan kayu hanyut yang dibawa arus deras, sekali gus menjejaskan keteguhan strukturnya,” katanya ketika hadir menyaksikan upacara pemberkatan tapak pembinaan jambatan baharu di Jalan Ulu Kedoh, Sebelak, dekat sini, pagi tadi.

JAMBATAN kayu sedia ada di Jalan Ulu Kedoh, Sebelak, yang bakal digantikan dengan jambatan I-Beam baharu bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan perhubungan penduduk setempat. Foto ADUN Krian

Friday menegaskan bahawa pembinaan kemudahan baharu itu amat penting bagi penduduk kedua-dua rumah panjang dalam menjalankan urusan seharian.

“Langkah ini bukan sahaja menjamin tahap keselamatan yang lebih tinggi, malah mengembalikan keyakinan pengguna setiap kali menyeberangi laluan tersebut,” katanya.

Beliau turut berharap projek berkenaan dapat mengurangkan kebimbangan penduduk setempat terhadap keselamatan laluan tersebut.

“Pengalaman getir berdepan ancaman keselamatan akibat banjir besar sebelum ini diharap tidak lagi berulang setelah struktur baharu itu siap sepenuhnya kelak,” ujarnya.

Kehadiran Friday pada majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak kepimpinan dalam memantau perkembangan projek kemudahan awam di peringkat akar umbi.

FRIDAY Belik bergambar kenangan bersama pemimpin serta wakil masyarakat tempatan selepas upacara pemberkatan tapak pembinaan jambatan I-Beam baharu di Jalan Ulu Kedoh, Sebelak, pagi tadi. FotoADUN Krian

Upacara pemberkatan tapak pembinaan tersebut disempurnakan oleh Fr Philip Mang dari Gereja Saint Paul Roban. Acara simbolik itu menandakan permulaan rasmi pelaksanaan fasa pembinaan jambatan baharu berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai projek itu, Friday berkata penyediaan infrastruktur yang selamat dan boleh dipercayai merupakan keperluan asas masyarakat luar bandar.

“Keperluan ini mesti sentiasa diberi perhatian utama kerana ia berkait rapat dengan mobiliti serta kesejahteraan hidup harian penduduk. Pembangunan jambatan yang lebih kukuh ini dijangka memudahkan lagi urusan pergerakan harian penduduk dari Rumah Andrew Aji dan Rumah Dius.

“Selain itu, pembinaannya juga bakal mempertingkatkan tahap perhubungan dan akses mereka ke kawasan luar di sekitarnya,” tambah Friday.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa pemimpin serta wakil masyarakat tempatan, termasuk Tuai Rumah Andrew dan Tuai Rumah Dius.

Oleh Adi Safarman