
BINTULU: Jambatan baharu merentasi Sungai Kemena di Sebauh, dengan panjang 728 meter, kini memasuki fasa akhir pembinaannya dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada 4 Disember depan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek bernilai kira-kira RM105 juta itu dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi setempat.
“Jambatan ini menelan belanja sekitar RM105 juta dan dijangka boleh digunakan pada 4 Disember.
“Majlis prapelancaran diadakan pada 5 Disember dan dijangka dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan kerja ke tapak projek pembangunan di Pekan Sebauh, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena memaklumkan bahawa projek tersebut turut melalui proses penyelarasan termasuk pelantikan kontraktor penyelamat bagi memastikan ia siap mengikut jadual.
Menurutnya, kemudahan itu bakal menghubungkan kawasan seperti Ulu Pandan dan Binyo terus ke Sebauh tanpa lagi bergantung kepada perkhidmatan feri.
Langkah tersebut dijangka meningkatkan pergerakan penduduk serta memudahkan urusan ekonomi, pendidikan dan akses kepada perkhidmatan awam di kawasan seberang Sungai Kemena.
“Pembukaan jambatan ini akan membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan tersebut,” katanya.
Turut hadir Residen Bahagian Bintulu, Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan.
Oleh Carolyne Utih