
PANTU: Penduduk Kampung Munggo Sawa kini menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik apabila sebuah jambatan baharu sepanjang 51 meter siap dibina dan dirasmikan dekat sini semalam.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, projek tersebut merupakan antara inisiatif di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, pembinaan jambatan itu melibatkan kos sebanyak RM220,000 dan telah siap sepenuhnya pada penghujung tahun lalu.
Katanya, projek berkenaan dilaksanakan bagi menggantikan kemudahan lama yang kurang selamat, sekali gus memastikan penduduk dapat menyeberangi sungai dengan lebih selesa dan terjamin keselamatannya.


“Jambatan ini amat penting terutama ketika musim banjir, di mana sebelum ini penduduk berdepan risiko tinggi untuk menyeberangi sungai,” jelas beliau ketika berucap pada majlis perasmian jambatan tersebut.
Tambah beliau lagi, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pembangunan luar bandar terus diberi perhatian agar tidak ada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan.
Selepas majlis perasmian, Doris turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk dalam suasana santai di Rumah Panjang Dennis Unup, Munggo Sawa Ili.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran seramai 19 Tuai Rumah dari kawasan Engkeranji, Keranggas, Semulong, Ipoh dan Muding yang hadir bagi memeriahkan acara.
Turut hadir, Penghulu Angin dari Keranggas, wakil agensi kerajaan serta Ahli Majlis Daerah Sri Aman yang bersama-sama menunjukkan sokongan terhadap usaha pembangunan di kawasan berkenaan.
Oleh Adi Safarman