
KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan jambatan baharu di Batang Samarahan serta jalan dua hala sepanjang sembilan kilometer dari Batang Samarahan ke Batang Sadong kini mencatat kemajuan memberangsangkan dengan prestasi melebihi jadual asal.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada program Jajaran Utama Kedua Sarawak yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Program ini bertujuan menghubungkan kawasan dari Batang Sejingkat ke Batang Samarahan, Batang Sadong, Sebuyau dan seterusnya ke Betong.

“Pembinaan jalan dua hala standard JKR R5 dari Batang Samarahan ke Batang Sadong kini mencatatkan kemajuan sebanyak 11.61 peratus, sedikit melebihi jadual asal iaitu 11.43 peratus.
“Kemajuan ini disumbangkan oleh kelancaran bekalan bahan binaan daripada pihak kontraktor. Ketika ini, mereka mendahului jadual sebanyak 0.18 peratus. Kita berharap prestasi seperti ini dapat dikekalkan agar projek ini siap lebih awal daripada jadual yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat projek Pakej A1A – Pembinaan dan Penyiapan Jambatan Baharu Batang Samarahan dan Jalan Empat Lorong Dua Hala sepanjang sembilan kilometer ke Batang Sadong (CH8+150), Bahagian Samarahan, hari ini.
Tambahnya lagi, satu lagi pakej projek iaitu Pakej D3C yang melibatkan pembinaan jalan satu hala sepanjang tujuh kilometer dari Batang Samarahan ke Sejingkat pula mencatat kemajuan 23.09 peratus, hanya 0.04 peratus di belakang jadual asal iaitu 23.13 peratus.
“Walaupun perbezaan itu kecil, pihak kontraktor telah diminta meningkatkan kadar bekalan bahan kerana ia masih rendah berbanding keperluan sebenar untuk kerja-kerja tambakan jalan di lokasi tersebut,” jelas beliau.

Secara keseluruhan, jarak antara Batang Samarahan ke Batang Sadong merangkumi 23 kilometer, yang melibatkan Pakej A1A sejauh sembilan kilometer dan Pakej A1B sejauh 13 kilometer.
“Manakala laluan dari Batang Samarahan ke Sejingkat pula sepanjang kira-kira 17 kilometer, menjadikan keseluruhan jajaran dari Batang Sadong ke Sejingkat berjumlah kira-kira 40 kilometer,” katanya.
Aidel menjelaskan, jajaran ini bakal menyediakan laluan alternatif kepada penduduk pesisir yang sebelum ini tidak terlayani secara langsung oleh Lebuhraya Pan Borneo atau Jalan Pesisir.
“Jalan Utama Kedua ini adalah penyelesaian jangka panjang untuk memperkukuh jaringan jalan raya negeri. Apabila jajaran D3C siap kelak, pengguna dari kawasan pesisir dapat terus ke Sejingkat tanpa perlu melalui kawasan Samarahan,” tambahnya.
Selain itu, satu lagi jalan dua hala baharu sepanjang 35 kilometer turut dirancang dari Batang Sadong ke Batang Lupar di Sebuyau.
Justeru, satu jajaran baharu sedang dibina bagi menghubungkan Gedong dan Serian, terletak di antara Batang Sadong dan Batang Samarahan.
Keseluruhan pembangunan ini dijangka siap menjelang penghujung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), sekali gus bakal merubah landskap sistem perhubungan jalan raya di kawasan tengah dan pesisir Sarawak.
Oleh Masrin Affirah