ANTARA gubahan jambangan bunga yang mendapat tempahan pelanggan.
GUBAHAN bunga atau jambangan bunga yang menarik dan unik mampu menjana pendapatan lumayan dan memuaskan.
Bagi suri rumah, Dolly Nyanggau, 43, mengubah jambangan bunga ini adalah kerja separuh masa, dan pada masa yang sama untuk menambah pendapatan sampingan.
Beliau mempelajari cara membuat jambangan bunga ini atas inisiatif sendiri tanpa mengambil kursus atau mempelajarinya daripada pakar membuatnya.
“Saya belajar sendiri mengubah jambangan ini sebagai hobi di masa lapang,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Katanya, awal percubaan memang sukar tetapi lama-kelamaan usahanya berhasil apabila ada rakan-rakan yang memberi galakan.
Sejak itu Dolly mula mengambil tempahan pelbagai gubahan jambangan seperti Birthday Bouquet, Anniversary Bouquet, Sorry Bouquet, Get Well Soon Bouquet, Convocation Bouquet, Money Bouquet dan Fruit Basket.
“Biasanya proses melakar gubahan jambangan mengikut yang dimahukan pelanggan yang mana tempoh untuk menyiapkan sesebuah gubahan bouquet itu juga bergantung kepada saiznya.
Menurut Dolly, beliau mampu mengubah dalam 25 hingga 30 jambangan sebulan dan tempahan akan bertambah pada Hari Krismas, Hari Kekasih, Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Jadi.
Menyentuh tentang harga, Dolly yang juga seorang pekerja di pejabat Swasta, beliau meletakkan harga antara RM50 hingga RM100 mengikut permintaan pelanggan.
Katanya, mengubah jambangan kecil beliau dapat mengubahnya dalam masa satu setengah jam dengan kos gubahan antara RM20 hingga RM25 sementara bagi bouquet besar beliau mampu mengubahnya dalam masa dua jam dengan kos gubahan antara RM30 hingga RM40.
Katanya, kebanyakkan pelanggannya dari Marudi, Bario, Long Seridan, Long Lellang, Long Banga dan Miri.
“Bagi pelanggan di kawasan Marudi, penghantarannya percuma namun bagi pelanggan di kawasan luar Marudi dikenakan bayaran mengikut jarak tempat,” tambah Dolly.
Oleh JIKU JUGUONG