JALIN KERJASAMA… Profesor Pascale Quester dan Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel pada majlis menandatangani MoU sambil disaksikan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian di Hawthorn, Melbourne semalam.
KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Victorian Hydrogen Hub (VH2) diketuai Swinburne dan dibiayai oleh Kerajaan Victoria Australia berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam rantaian bekalan hidrogen global dan ekosistem yang memanfaatkan kedua-dua pihak.
Sehubungan itu, Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai ekonomi hidrogen telah dimeterai antara Kerajaan Sarawak dan Universiti Teknologi Swinburne sambil disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian di Melbourne, Australia, semalam.
MoU itu ditandatangani oleh naib canselor dan presiden Universiti Swinburne, Profesor Pascale Quester dan pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel.
Dr. Sim berkata, misi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar hidrogen bersih di rantau ini dalam usahanya membangunkan ekonomi negeri dipacu hidrogen.
“Keselamatan bekalan tenaga dan perubahan iklim mewakili dua kebimbangan utama mengenai masa depan sektor tenaga, yang menimbulkan cabaran untuk mencari cara terbaik mengekang pelepasan di samping menyediakan tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan ekonomi.
“Hidrogen menarik kerana sama ada ia dibakar untuk menghasilkan haba atau bertindak balas dengan udara dalam sel bahan api dalam menghasilkan elektrik, satu-satunya hasil sampingan ialah air,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menerusi Mou ini katanya, beliau berharap dapat menangani cabaran penyelidikan dan modal insan, menyokong amalan pembuatan mampan, dan menyokong keupayaan untuk menyimpan tenaga bersih daripada sumber boleh diperbaharui.
Sementara itu, Muhammad Abdullah berkata tenaga boleh diperbaharui adalah salah satu sektor ekonomi pertumbuhan utama Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS2030).
Hidrogen bersih ialah pembawa tenaga dan bahan suapan serba boleh yang membolehkan sektor tenaga dan perindustrian mencapai penyahkarbonan yang mendalam, jelasnya.
“Halangan kepada pengaktifan pasaran berpunca daripada kekurangan infrastruktur sokongan dan kos bekalan hidrogen.
“Bagaimanapun, kedua-dua halangan itu boleh diatasi melalui siri perkongsian strategik dan pelaburan di sepanjang rantaian nilai daripada kedua-dua sektor swasta dan awam,” katanya.