MAKKAH: Pesara guru, Jaliha Sakli, 56, yang jatuh sakit ketika menunaikan umrah di sini sejak sebulan lalu sudah dibenarkan keluar hospital semalam.
Suaminya, Ahmad Abas Ali, 58, berkata mereka kini menginap di sebuah hotel di Makkah dan hanya menunggu penerbangan untuk pulang ke Malaysia.
“Tertakluk kepada kekosongan, saya dan isteri mungkin boleh berangkat balik hujung minggu ini atau awal minggu depan menggunakan Saudi Air.
“Isteri saya sudah pulih tetapi masih lemah untuk berjalan. Namun, pihak Etika (insurans Malaysia) mungkin menyediakan jururawat untuk mengiring kami dalam penerbangan,” katanya di sini hari ini.
Mengenai sumbangan orang ramai setelah membaca laporan akhbar ini baru-baru ini, beliau berkata setakat hari ini jumlahnya menghampiri RM20,000.
“Saya amat berterima kasih kepada semua penyumbang yang prihatin bagi meringgankan bebanan kami. Hanya Allah boleh membalas budi anda semua,” katanya.
Ahmad Abas juga bersyukur kerana pihak agensi pelancongan yang mengatur pakej umrah berjaya mengadakan rundingan dengan pihak pengurusan Hospital Pakar Al-Noor.
“Saya diberitahu soal jumlah bayaran bil hospital, kira kemudian kerana yang penting isteri saya keluar hospital cepat bagi mengelak kos terus meningkat.
“Duit sumbangan orang ramai akan saya gunakan untuk menampung sebahagian bil hospital nanti setelah semua rundingan selesai,” katanya.
Jaliha yang pernah mengajar di SK Kampung Tanam, Dalat mengidap meningitis dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada 15 Januari lalu.
Setelah koma selama 11 hari, Jaliha yang berasal dari Kampung Pangtray, Daro di Bahagian Mukah, kemudian dimasukkan ke wad biasa.
Setelah sebulan terlantar di hospital, bil rawatan mencecah hingga SR116,000 (RM135,612).
Ahmad Abas dan isterinya sudah selesai mengerjakan tiga kali umrah dan bersedia untuk berangkat pulang ke Malaysia apabila Jaliha dijangkiti meningitis.
Mereka berdua bersama rombongan melalui agensi pelancongan umrah swasta tiba di sini pada 28 Disember lalu untuk pakej umrah selama 22 hari.
Laporan daripada Kadir Dikoh