
PAKAN: Projek pembinaan jalan wharf Rumah Kalut Sat di Sungai Merah Dayu yang menelan kos RM100,000, kini siap sepenuhnya.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom menegaskan bahawa kerajaan sentiasa berusaha membawa pembangunan ke kawasan luar bandar, termasuk Pakan.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat dan memastikan pembangunan diagihkan secara seimbang tanpa unsur pilih kasih.
“Setiap projek dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keberkesanan dan impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian jalan wharf Rumah Kalut Sat, semalam.
Dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, kerajaan terus membuktikan kesungguhannya dalam memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Beliau yakin bahawa dengan kerjasama semua pihak, terutama pemimpin akar umbi, kemajuan di Pakan dapat dipacu secara berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, katanya, apabila projek Jalan Pakan/Ulu Paku siap kelak, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi penduduk.
“Selain itu, kerajaan juga komited dalam membantu mengatasi isu komunikasi di Pakan bagi memastikan penduduk dapat berhubung dengan dunia luar dengan lebih baik.
“Kita berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi meningkatkan kemudahan komunikasi di Pakan agar penduduk dapat menikmati akses maklumat yang lebih luas,” tambahnya.
Mawan turut menggesa pemimpin masyarakat, khususnya ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di Pakan supaya lebih peka terhadap permasalahan rakyat, dan menyalurkan maklumat kepada kerajaan melalui saluran yang betul bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Bagi menyokong pembangunan komuniti setempat, Mawan mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Kalut Sat serta RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Kalut Sat, bagi memperkasakan peranan mereka dalam pembangunan komuniti.
Oleh Earl Anek