
BINTANGOR: Jalan utama perkuburan Batu 8, Jalan Kelupu di sini kini lebih selesa dan selamat untuk digunakan selepas kerja menaik taraf siap sepenuhnya pada 12 Mac lalu, melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek tersebut merupakan salah satu inisiatif berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas di kawasan luar bandar terus dipertingkat demi kesejahteraan rakyat.
“Ia memudahkan urusan masyarakat yang menziarahi tanah perkuburan di kawasan ini.
“Saya berpuas hati kerana projek ini telah disiapkan mengikut spesifikasi dan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan upacara ringkas penyerahan projek RTP siap di jalan perkuburan Batu 8, Jalan Kelupu, semalam.
Katanya, projek tersebut diselia oleh Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), dengan pelaksanaan berjalan lancar hasil komitmen pihak agensi pelaksana serta kontraktor yang dilantik melalui cabutan undi.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak MDMJ yang sentiasa memastikan pelaksanaan projek RTP di kawasan Meradong berjalan mengikut jadual.
“Kelulusan projek RTP ini membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar, selari dengan aspirasi memastikan tiada komuniti terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.
Oleh Earl Anek