SARIKEI, 7 Oktober: Tempoh perjalanan dari kawasan Sare dan sekitarnya ke Sarikei dijangka dapat dipendekkan daripada kira-kira 30 minit kepada hanya 10 minit menerusi pembinaan Jalan Spur dari Sare ke Jalan Sentebu/Bukit Kinyau.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek sepanjang 2.7 kilometer itu melibatkan kos kira-kira RM17 juta.
Katanya, kos pampasan pengambilan tanah pula berjumlah RM1.4 juta membabitkan kira-kira 20 pemilik tanah.
“Saya telah selesai membuat perasmian pecah tanah Jalan Spur, Sare yang menghubungkan Sentebu ke Taman Susur Jambu, apa yang telah kita rancang sebelum ini iaitu jalan raya dari situ ke Bukit Kinyau.
“Sektor ini merupakan 2.7 kilometer (km) yang kosnya adalah lebih kurang RM17 juta dengan kos pampasan tanah ialah RM1.4 juta yang melibatkan lebih kurang 20 pemilik tanah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pecah tanah bina Jalan Spur dari Sare ke Jalan Sentebu/Bukit Kinyau dan penyerahan cek pampasan tanah, hari ini.
Len Talif berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah RADDA bagi memperkukuh jaringan perhubungan khususnya di kawasan Parlimen Tanjong Manis dan DUN Kuala Rajang.
“Disini projek RADDA bagi kawasan Parlimen Tanjong Manis dan DUN Kuala Rajang.
“Ini akan memendekkan jarak perjalanan diantara kawasan ini ke Sarikei dari 30 minit ke 10 minit,” katanya.
Tambahnya, pembangunan rangkaian jalan raya di kawasan tersebut tidak terhenti dengan projek itu apabila satu lagi laluan dari Kerubong ke Sekolah Kebangsaan (SK) Adin, Sare sepanjang kira-kira tujuh kilometer turut dirancang.
“Dan juga, jaringan jalan yang akan kita bangunkan dalam masa terdekat dari Kerubong ke Sekolah Kebangsaan (SK) Adin, Sare yang panjangnya lebih kurang 7 kilometer dan juga dibawah RADDA dan akan ditender dalam masa terdekat.
“Dengan adanya rangkaian jalan seperti ini, Sarikei akan dihubungkan dengan jalan raya yang begitu baik dari semua jarak, selatan dan utara,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Len Talif berharap kerjasama semua pihak dapat memastikan projek Jalan Spur dari Sare ke Jalan Sentebu/Bukit Kinyau disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Sebab itulah, dengan adanya kerjasama dari semua pihak, saya haraplah projek Jalan Spur dari Sare ke Jalan Sentebu/Bukit Kinyau akan disiapkan dalam masa yang telah dijadualkan iaitu 12 bulan,” katanya lagi.
Mengulas perkembangan keseluruhan projek di bawah RADDA, katanya, sebanyak 90 projek telah diluluskan dengan pelaksanaannya berada pada peringkat berbeza.

“Kalau kita lihat dari semua projek RADDA yang telah diluluskan iaitu 90 projek dan kawasan Dalat merupakan satu daripada DUN yang telah melaksanakan projek, kerana dari segi jumlah kos projek yang agak rendah sedikit, tapi oleh sebab itulah DUN Dalat merupakan banyak projek yang telah siap dilaksanakan.
“Begitu juga bagi kawasan DUN Kuala Rajang, Meradong dan Repok,” ujarya.
Katanya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan jadual pelaksanaan projek RADDA meskipun terdapat beberapa projek yang masih menunggu kelulusan berkaitan tapak dan perkara berkaitan.
“Jadi, dari segi keseluruhannya jadual pelaksanaannya, saya berasa selesa kerana mengikit jadual, tapi ada projek yang masih menunggu kelulusan dari segi petapakan dan sebagainya.
“Tapi keseluruhannya, pelaksanaan projek dibawah RADDA adalah memuaskan,” katanya.
Oleh Earl Anek




