
BINTULU: Masalah jalan rosak yang sekian lama membelenggu penduduk dan pengusaha di kawasan Perindustrian Kemena akhirnya mendapat perhatian apabila kerja-kerja naik taraf dan pembaikan mula dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, projek berkenaan merangkumi penurapan semula jalan utama sepanjang 1.8 kilometer, pembaikan jalan cabang kira-kira 500 meter dan pembinaan sistem perparitan baharu.
Menurut beliau, keadaan jalan sebelum ini amat membimbangkan kerana berlubang serta berdebu pada musim panas dan mudah dinaiki air ketika hujan, sekali gus mengundang risiko keselamatan kepada pengguna.
“Penduduk dan pengusaha di kawasan ini telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan mereka.
“Selepas beberapa siri perbincangan dan susulan bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), kerja-kerja baik pulih berjaya dimulakan,” katanya selepas melakukan tinjauan ke tapak baru-baru ini.
Menurut beliau, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung Ogos dan akan memberi manfaat kepada pengguna jalan serta menyumbang kepada persekitaran lebih selesa dan sistematik di kawasan industri berkenaan.
Beliau turut menasihati para pengguna jalan raya agar mematuhi arahan keselamatan dan memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan tersebut sepanjang tempoh kerja-kerja sedang dijalankan.
Oleh Carolyne Utih