Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Jalan raya semakin elok, kemalangan pula kerap berlaku
  • KOLUMNIS

Jalan raya semakin elok, kemalangan pula kerap berlaku

Utusan Sarawak 1 day ago

APAKAH ini dinamakan harga sebuah pembangunan?

Sejak keadaan jalan raya di negeri ini semakin baik termasuk siapnya Lebuh Raya Pan Borneo, kerap kita dengar berlaku kemalangan terutama yang meragut nyawa.

Saban hari kemalangan berlaku sama ada di selatan, tengah atau utara negeri ini.

Bayangkan antara Januari dan April 2025, Sarawak merekodkan 6,724 kemalangan jalan raya, melibatkan 120 kematian, cedera parah (47) dan cedera ringan (102).

Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), rempuhan bahagian belakang kenderaan dikenal pasti oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sarawak sebagai kes terbanyak, merekodkan 2,236 kes.

Antara kes lain termasuk terbabas akibat memandu laju (1,481 kes), pelanggaran sisi di simpang (1,421), leret sisi (381) dan pelanggaran depan (281).

KEMALANGAN kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo antara Sarikei dan Betong baru-baru ini. Wanita berusia 44 tahun selamat tetapi cedera.

Faktor lain termasuk mengundur, merempuh objek atau haiwan, terbalik dan juga pelanggaran ke atas pejalan kaki.

“Angka-angka ini mencerminkan satu kebenaran yang menyedihkan, tingkah laku pemandu kekal sebagai punca utama kemalangan,” kata Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin.

Andai dari segi teknikal keadaan jalan raya antara punca kemalangan, pihak berkuasa terutama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pasti akan memperbaiki keadaan di lokasi yang dimaksudkan.

Namun, jika faktor manusia menjadi penyebab, maka setiap orang perlu lebih berhati-hati.

“Saya tidak mahu laju yang tidak sampai.” Itu kata-kata seorang sasterawan negara menegur seorang pemandu yang membawanya dari lapangan terbang ke hotel penginapan di sebuah negeri seketika dulu.

Sementara itu, seorang pemandu yang memandu di Lebuh Raya Pan Borneo baru-baru cedera apabila keretanya terbabas hanya kerana terlelap beberapa saat (micro sleep). Jangan memandu ketika mengantuk.

‘Micro sleep’ adalah masalah tidur apabila individu terbabit mengalami keadaan di mana otaknya tidur tetapi sensori seperti mata, tangan dan kaki masih aktif.

Keadaan tertidur seketika ini berlaku dalam tempoh singkat dengan jangkamasa antara satu hingga lima saat tetapi boleh menyebabkan kemalangan jika individu itu sedang mengendalikan jentera atau kenderaan.

PERLU R&R

Sebab itulah perlu dibina kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo untuk penggunanya berehat sambil minum.

Kita hairan juga mengapa kawasan rehat Jelukong di Lebuh Raya Pan Borneo berdekatan Engkilili masih belum dibuka, sedangkan dah lama siap.

Apakah benar JKR tiada kuasa atau tiada unit komersial untuk mengendalikan kawasan rehat itu? JKR dikatakan hanya boleh mengupah pengawal keselamatan dan penjaga tandas di situ. Tandas dalam keadaan ‘tip top’ kerana aliran air lancar.

PUSAT Rehat dan Rawat di kawasan Jelukong, Lubok Antu.

Mengapa tidak diswastakan atau dibenarkan Majlis Daerah Sri Aman atau Majlis Daerah Kecil Engkilili mengawal selia gerai makanan di situ dengan membuka tender kepada peniaga tempatan yang berminat?

Sekurang-kurangnya ada kawasan rehat di sebelah Sri Aman selain kawasan rehat di Betong dan Saratok, bertepian Lebuh Raya Pan Borneo. Biarlah pengguna menikmati keseronokan ketika melalui lebuh raya sambil berehat.

Sebelum ini dilaporkan kawasan R&R Jelukong itu dijangka beroperasi pada suku pertama 2024 setelah siap 2023. Dilaporkan ketika itu, pemilihan pemilik gerai dan tapak jualan sedang giat dijalankan secara berperingkat.

Antara kemudahan yang akan disediakan di kawasan R&R Jelukong adalah kawasan parkir kenderaan; tandas awam; medan selera dan surau.

Nescaya, kawasan rehat seperti ini secara tidak langsung diharap boleh membantu mengurangkan kemalangan terutama isu ‘micro sleep’.

Namun, kemalangan jalan raya kerap dilaporkan terutama pada musim perayaan disebabkan pelbagai faktor antaranya pertambahan jumlah kenderaan, kelalaian, memandu secara melulu dan sesetengahnya terlelap seketika ketika memandu atau ‘micro sleep’.

Kita tidak mahu kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat di Gerik, Perak yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, berulang dimana-mana dan semestinya wajar membuka mata semua pihak.

Segala punca nahas dan punca kematian dalam siasatan perlu lebih terperinci. Jika diperhati melalui gambar dan video yang tular keadaan di lokasi kejadian, penghalang jalan semuanya besi.

Menurut mereka yang pakar dalam hal ini, apabila berlaku kemalangan terutama pada kelajuan tinggi atau di selekoh tajam, jenis penghadang jalan memainkan peranan besar dalam menentukan tahap kecederaan dan kemungkinan nyawa terselamat.

Katanya, teknologi terbaharu ialah penghadang berputar (Roller Barrier) yang menggunakan silinder berputar berasaskan polimer keanjalan tinggi.

PENGHADANG BERPUTAR

Tenaga hentaman diubah kepada gerakan berpusing, mengurangkan impak mendadak. Ini membantu mengekalkan laluan kenderaan dan mencegahnya daripada tergelincir atau terbalik.

Kajian menunjukkan penghadang jenis ini berpotensi mengurangkan kadar kecederaan parah dan kematian, terutama di kawasan berisiko tinggi.

PENGHADANG berputar (Roller Barrier) boleh membantu mengekalkan laluan kenderaan dan mencegahnya daripada tergelincir atau terbalik. Di beberapa lokasi Lebuh Raya Pan Borneo, sudah ada seperti di kawasan strategik yang agak tinggi di Bukit Begunan ke arah Simanggang.

Kita berterima kasih kepada JKR yang sudah memasang penghadang berputar (Roller Barrier) di beberapa lokasi di Lebuh Raya Pan Borneo. Antaranya di kawasan strategik berbukit yang agak tinggi di Bukit Begunan ke arah Simanggang.

Berdasarkan komen nitizen, lokasi kemalangan meragut nyawa pelajar UPSI di Gerik itu, amat gelap pada waktu malam.

Berikutan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak akan memasang 385 lampu jalan jenis solar di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik termasuk di lokasi kemalangan.

Bagaimanapun, Pengarah JKR Perak, Ir. Zamri Mat Kasim dilaporkan berkata, keadaan gelap bukanlah punca kemalangan di lokasi tersebut sebaliknya adalah kelajuan yang tidak munasabah bas terlibat insiden itu sebagaimana dilaporkan pihak polis.

Memang benarlah ia bukan puncanya tetapi keadaan gelap akan menyukarkan usaha menyelamat selepas berlaku kemalangan apatah lagi di kawasan selekoh.

Mana-mana pemandu lalu lalang yang mahu membantu, akan berdepan risiko meletak kereta di kawasan selekoh dalam keadaan gelap. Sebab itulah perlu keadaan terang sepanjang laluan.

Kita teringat keadaan gelap gelita tanpa lampu sepanjang perjalanan dari Sarikei ke Sibu. Yang berlampu cuma berdekatan bandar Sarikei atau Sibu selain tompokan kawasan penempatan.

Bayangkan jika pemandu wanita keseorangan berdepan tayar pancit dalam keadaan gelap seperti itu dan jalan raya pula agak sempit.

Pihak berkuasa perlu meletakkan lampu solar demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

Begitu juga di lokasi tertentu sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo, perlu dipasang lampu solar.

Alangkah seronoknya memandu waktu malam jika keadaan terang benderang seperti mana laluan berjambat Pan Borneo di kawasan Betong.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Sarawak dalam semangat ‘Global South’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.